
BAU: Seorang pemandu dikenakan dua saman oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Bau susulan satu video tular yang memaparkan pemanduan berbahaya di sepanjang Jalan Bau–Kuching berhampiran Kampung Keranji.
Pemandu tersebut disaman kerana gagal mematuhi garisan berkembar di jalan raya serta tidak berada di lorong yang betul.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman, berkata tindakan diambil selepas rakaman kamera papan pemuka yang tular di media sosial menunjukkan sebuah Perodua Kancil dipandu secara melulu, termasuk memasuki lorong bertentangan dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Ahad lepas pada 5.34 petang. Hasil siasatan, pemandu berjaya dikenal pasti dan hadir ke pejabat BSPT IPD Bau hari ini bagi membantu siasatan.
Menurut Supt Haide, pemandu mengaku memandu dalam keadaan mengantuk ketika kejadian.
“Orang ramai diingatkan bahawa memandu ketika mengantuk merupakan risiko serius. Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya tidak memandu dalam keadaan keletihan kerana ia boleh membahayakan nyawa,” katanya.
Oleh Connie Chieng