
BINTULU: Seorang lelaki berusia 49 tahun cedera di bahagian kepala selepas lori muatan tanah yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 664, Jalan Pan Borneo Bintulu–Sibu, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada11.01 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 20 kilometer dari balai.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori muatan tanah yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter.

“Seorang mangsa lelaki berada di dalam kenderaan tersebut dan mengalami kecederaan di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah kenyataan itu, mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat sebelum dibawa oleh orang awam ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada 11.50 pagi.
Oleh Liong Chai Ling