AKUN GIMAN
SIBU: Melalui projek mengindahkan lorong belakang kedai dan bangunan, lebih banyak lukisan mural akan dilukis pada dinding-dinding bangunan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Michael Tiang berkata, objektif projek tersebut untuk mengubah pemandangan suram pada dinding bangunan yang kosong dengan lukisan mural.
“Dalam pada masa sama, ia bagi menyampaikan mesej yang positif.
“Seperti mural yang kita rasmikan hari ini dengan mesej untuk memberi penghargaan kepada semua barisan hadapan yang telah berkhidmat kepada kita semasa pandemik dua tahun lepas,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Into Ramin Way Mural Project Sibu’ hari ini.
Projek yang ditaja oleh Tiang itu melibatkan lukisan mural yang dilukis pada dinding belakang sebuah stesen minyak di Jalan Ramin yang memberi penghargaan kepada semua barisan hadapan yang berjuang semasa pandemik Covid-19.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu mendedahkan, menerusi projek tersebut akan mengubah imej lorong belakang kedai menjadi lebih indah dan menarik.
“Kita mahu mengindahkan dinding-dinding bangunan di bandar Sibu dengan lukisan mural. Disamping itu, kita mahu mengetengahkan bakat pelukis mural tempatan.
“Ini merupakan lukisan mural kedua yang dihasilkan. Lebih banyak lagi lukisan akan dihasilkan bersama dengan Kelab Raminway. Kita akan mengubah lebih banyak dinding bangunan dengan hasil seni mural oleh artis-artis berlainan dan ini hanyalah permulaan,” ujarnya.
Katanya, tanggapan yang mengatakan lorong belakang kedai atau bangunan hodoh dan kotor harus dikikis serta diubah.
“Menerusi kerjasama Majlis Perbandaran Sibu (MPS), kita mahu mengubah semua itu untuk menjadi daya tarikan kepada pelawat dan pelancong yang datang berkunjung ke Sibu.
“Ini akan menjadi sesuatu yang mengejutkan mereka apabila mereka melalui lorong belakang ini,” ujarnya lagi.
Turut hadir Pengerusi MPS, Clarence Ting, Timbalannya, Bujang Abdul Majid, Ketua Bahagian Jualan Sabah dan Sarawak Petronas Dagangan Berhad, Azaidie Selli serta yang lain.