
DEBAK: Pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid dan pelajar sekolah bermula 21 April lalu disifatkan sebagai langkah positif ke arah memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata pelaksanaan itu wajar disokong oleh semua pihak, khususnya ibubapa dan pendekatan itu juga boleh dilihat sebagai satu cara untuk memperkenalkan imej murid dan pelajar Malaysia yang taat dan cintakan negara.
Beliau berkata melalui inisiatif tersebut juga, ia mampu menjadi jalan penyelesaian terbaik kepada isu-isu berkaitan ilustrasi Jalur Gemilang seperti mana yang berlaku baru-baru ini.
“Jika kita gagal menyemaikan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini pada peringkat awal, saya khuatir ia akan memberikan impak negatif kepada negara ini suatu hari nanti.
“Oleh itu, apa yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada waktu ini merupakan langkah terbaik ke arah itu,” katanya semasa merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar Debak di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata peruntukan berjumlah RM1.5 juta telah disalurkan oleh kerajaan Sarawak kepada sekolah-sekolah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas pada tahun lalu menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM300,000 adalah sumbangan menerusi peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang disalurkan terus kepada pihak sekolah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada pelbagai pihak terutamanya Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu dan Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) diatas sumbangan dana yang masing-masingnya bagi tujuan yang sama selama ini kepada sekolah-sekolah di Saribas.
Untuk rekod, terdapat sebanyak 17 buah sekolah rendah dan menengah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di DUN Saribas ketika ini.
Oleh Adi Safarman