

KUCHING: Menggalakkan pelajar memakai lencana Jalur Gemilang boleh menjadi langkah positif dalam memupuk semangat patriotisme sejak kecil.
Presiden Persatuan Sekolah Rendah Cina Bantuan Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Jonathan Chai Voon Tok (gambar) berkata simbol kebangsaan seperti bendera Malaysia memainkan peranan penting dalam membina rasa bangga terhadap negara, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Memakai lencana Jalur Gemilang boleh menjadi satu cara untuk menyemai maruah negara dalam diri pelajar sejak awal.
“Ia memberikan mereka kesedaran tentang identiti kebangsaan dan kepentingan perpaduan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa patriotisme sejati tidak boleh bergantung semata-mata kepada simbol, sebaliknya perlu diperkukuh melalui pendidikan sivik yang bermakna, tadbir urus yang adil, dan dasar inklusif.
“Patriotisme bukan sekadar memakai simbol negara, tetapi memahami erti kebanggaan terhadap tanah air dan mengamalkan nilai-nilai perpaduan dalam kehidupan seharian.
“Pendidikan yang baik akan memastikan pelajar bukan sahaja mengenali bendera negara tetapi juga memahami makna di sebaliknya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar sekolah memastikan sukatan pelajaran merangkumi konsep ‘Bangsa Malaysia’ agar pelajar bukan sahaja mengenali identiti negara tetapi juga memahami kepentingan perpaduan dan keharmonian.
Selain itu, beliau menekankan peranan guru sebagai pembimbing utama dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.
Jelasnya, guru harus menjadi teladan dalam memupuk rasa bangga terhadap negara.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan pelajar untuk memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam mereka bermula 21 April ini sebagai usaha menyemai semangat patriotisme.
Langkah itu melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).