KUCHING: Pemaju perumahan di Sarawak disaran memperkenalkan pembinaan rumah pintar yang mengaplikasikan reka bentuk rumah dilengkapi dengan sistem solar.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, menerusi sistem solar, ia akan membantu mengurangkan bil elektrik bulanan pengguna dan pada masa sama menyokong usaha Sarawak ke arah kelestarian alam sekitar.
“Kalau boleh pemaju-pemaju perumahan membuat peraturan supaya rumah-rumah baharu ini dilengkapi dengan panel solar di atas atap.
“Ini telah dilaksanakan di Putrajaya dan Kuala Lumpur, di Sarawak ini sudah dimulakan tetapi agak terhad. Baru-baru ini Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah pun menyatakan bahawa kita menggalakkan pemaju perumahan untuk memasukkan komponen panel solar.
“Sebabnya untuk memastikan para pengguna dapat menjimatkan tenaga dan pada masa yang sama juga untuk memastikan kita dapat bersama-sama membangunkan industri mesra alam sekitar, jadi penggunaan elektrik dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannnya di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman memberitahu, Kerajaan Sarawak tidak menolak kemungkinan untuk meminda Akta Perumahan sedia ada bagi mewajibkan pemaju rumah untuk memperkenalkan sistem solar dalam setiap projek perumahan mereka.
“Mungkin pada masa akan datang hasil daripada perbincangan bersama dengan banyak pihak, kita boleh membuat pindaan, penggubalan kepada undang-undang perumahan kita bagi memastikan bahawa rumah-rumah baharu yang dibina harus memasang panel solar ini untuk kebaikan semua pihak,” katanya.
Sebelum ini Abang Johari memberitahu Sarawak akan beralih ke arah menggunakan tenaga solar untuk membekalkan elektrik ke rumah panjang dan kampung.
Oleh NICKELYSON LAKUN