
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak menggesa semua pemaju perumahan supaya menyediakan tapak bagi pembinaan tangki aras tinggi dalam setiap pembangunan baharu bagi memastikan sistem bekalan air dapat memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah pada masa hadapan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, perancangan penyediaan tapak utiliti perlu diberi perhatian sejak peringkat awal pembangunan bagi mengelakkan masalah tekanan air apabila sesuatu kawasan berkembang pesat.
Menurutnya, kawasan Samarindah sepatutnya mempunyai tapak untuk pembinaan tangki aras tinggi, namun tapak tersebut tidak disediakan sehingga memaksa Sarawak Water mengambil inisiatif mengenal pasti serta memperoleh tanah baharu.
“Proses pengambilan tanah itu melibatkan kos pampasan yang tinggi, dianggarkan sekitar RM30 juta berikutan peningkatan nilai tanah di kawasan berkenaan.

“Justeru, saya berharap mana-mana pemaju yang ingin membangunkan kawasan baharu mengambil kira keperluan menyediakan tapak bagi pembinaan tangki aras tinggi supaya tidak menyukarkan usaha kerajaan menyediakan kemudahan bekalan air pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Tapak Bina Kawasan Tangki Aras Tinggi Samarindah, Jalan Samarindah Baru hari ini.
Julaihi menambah, kerajaan juga sedang menilai semula pendekatan sedia ada berhubung keperluan pembinaan tangki aras tinggi dengan mengambil kira keseluruhan pembangunan sesuatu kawasan dan bukan lagi berdasarkan jumlah rumah dalam satu projek sahaja.
Menurutnya, walaupun sesebuah projek perumahan tidak mencapai syarat minimum yang ditetapkan sebelum ini, pembangunan di kawasan sekitarnya mungkin menyebabkan jumlah keseluruhan kediaman meningkat sehingga memerlukan pembinaan tangki aras tinggi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bekalan air daripada Loji Rawatan Air Batu Kitang adalah mencukupi dan isu yang sering dihadapi ketika ini lebih berkaitan dengan tekanan air.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya tidak memasang pam air secara terus pada paip bekalan utama kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan tekanan air di rumah penduduk berhampiran.
“Pam air hendaklah digunakan selepas tangki simpanan bagi memastikan tekanan air kepada pengguna lain tidak terjejas,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh perancangan infrastruktur bekalan air bagi memastikan penduduk di kawasan pembangunan pesat seperti Samarindah terus menikmati bekalan air yang mencukupi dan tekanan air yang stabil.
Oleh Adele Rissa