
KUCHING: Perbelanjaan sebanyak RM81,000 diperlukan bagi merelalisasikan impian pemain Sape cilik berusia 10 tahun dari Belaga, Baptista Emmanuell Korintus untuk beraksi di pentas dunia.
Baptista atau nama timangannya, Nuel@Levat berasal dari Rumah Sekapan, Piit Belaga itu telah berjaya melayakkan diri di pentas Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat pada 16 hingga 27 Julai nanti.
Bapa Nuel, Korintus Leban, 53, berkata perbelanjaan yang besar diperlukan bagi melihat impian anaknya itu beraksi di pentas dunia dalam misi ke Hollywood nanti.
“Selepas membuat kiraan semua kos, kita memerlukan perbelanjaan sebanyak RM81,000, termasuk membawa pengiring iaitu ibu bapa.
“Untuk makluman juga, pihak penganjur telah menetapkan kos berjumlah RM46,868 untuk Nuel seorang sahaja.
“Daripada peruntukan RM46,868 itu, yuran penyertaan untuk pertandingan solo adalah sebanyak ASD3,500 (RM16,100); penginapan di The Westin Long Beach selama 11 hari 10 malam berjumlah ASD2,850 (RM13,110).
“Selain itu, kos berjumlah ASD900 (RM4,140) dikenakan untuk pas bermusim pendamping, kos penerbangan (RM12,000) dan makan minum ASD330 (RM1,518).
“Jadi jumlah untuk Nuel sahaja perlu disediakan sebanyak RM48,868,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Korintus berkata, dana berjumlah RM48,868 itu perlu dijelaskan kepada MyCreative Promotion Sdn. Bhd (MCP) pada 31 Mac nanti.
“Selain dari berusaha meminta tajaan daripada pihak kerajaan, kami juga mengalu-alukan sumbangan ikhlas daripada individu atau orang perseorangan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan penyertaan ini.
“Semoga impian Nuel untuk beraksi di pentas dunia dengan bermain sape tradisional mampu mengangkat nama Malaysia di mata dunia, dan kita optimis Nuel akan membawa pingat emas dan mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak khasnya,” katanya.
Sumbangan ikhlas individu atau orang perseorangan dan NGO bolehlah menghubungi Korintus di talian 012-8026191.
Oleh Adi Safarman