KUCHING: Pemain Sape cilik dari Belaga, Baptista Emmanuell Korintus mahu menjulang nama Malaysia amnya dan Sarawak khasnya selepas melayakkan diri di pentas Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat pada 16 hingga 27 Julai nanti.
Berusia 10 tahun, Baptista atau nama timangannya, Nuel@Levat berasal dari Rumah Sekapan, Piit Belaga itu telah berjaya memenangi pingat perak dalam uji bakat MCOPA Malaysia baru-baru ini di Star On Stage Kuching, dan melayakkannya mewakili Malaysia ke kejohanan dunia itu nanti.
WCOPA adalah merupakan kejohanan olimpik dalam seni persembahan dan ia merupakan platform bagi penggiat industri seni kreatif yang bercita cita untuk mengembangkan bakatnya ke peringkat antarabangsa.
WCOPA turut melibatkan sebanyak 70 negara dari seluruh dunia yang akan berentap di acara tahunan yang diadakan di Hollywood Amerika Syarikat.
Nuel berkata beliau begitu teruja sebaik sahaja nama beliau berjaya melayakkan diri di pentas WCOPA di Hollywood, Amerika Syarikat, pada Julai nanti.
Beliau menjelaskan, cukup bersemangat untuk mengikut jejak kejayaan Dion Das Louis yang berusia lapan tahun, dan lebih mesra dikenali sebagai ‘The Little Bornean Birdie’, memenangi emas pada Kejohanan Seni Persembahan Dunia ke-27 di California, Amerika Syarikat tahun lalu.
“Semestinya saya akan mengharumkan nama Malaysia khasnya dan Sarawak amnya dalam kejohanan dunia itu nanti, dan saya jadikan The Little Bornean Birdie sebagai pencetus semangat memenangi emas untuk dibawa balik ke tanah air nanti ” katanya.
Dalam pada itu, Nuel yang bersekolah di tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 7, Matang Kuching itu mula belajar bermain sape tradisional pada usia lima tahun sekitar 2020 dan sape kontemporari pada usia sembilan tahun pada 2024.
“Saya mengidolakan bapa saya sendiri kerana dialah yang memperkenalkan dan mengajar sape asas permainan sape kepada saya, dia juga merupakan antara pembuat sape yang masih aktif sehingga kini. Saya kerap juga menyertai pelbagai pertandingan bakat di Sarawak,” katanya.
Antara pencapaian terbaik Nuel adalah johan pertandingan Pre-school Kid Got Talent peringkat Sarawak (maya) 2020 (kategori bakat khas); johan pertandingan karnival Pre-school Kid Got Talent peringkat Sarawak (maya) 2021 (kategori instrumen); juara Hari Talenta BEM Kuching 2023 dan johan pertandingan bakat #tkcgottalent Peringkat Kebangsaan 2024.
Nuel juga berpengalaman dalam pertandingan lain dan sering dijemput membuat persembahan seperti bengkel sape bersama Persatuan Anak Seni Sape’ Kuching (Pusak) di Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2022.
Selain itu, persembahan pada Kid talent hari terbuka Majlis Sukan Sekolah (MSS) di Dewan Suarah Kuching 2022, persembahan sempena Shin Chew Daily di Boulevard 2022, persembahan di Rumah Asap Tabuan Dayak, persembahan Hari Gawai M-ficord, Pertandingan Sape Terbuka Regata Belaga 2023, persembahan Pesta Seni NFT 2023, Pertandingan Bakat Kenyalang 2023, persembahan di Sarawak Agrofest 2023.
Selain itu, persembahan di Emart Moyan, persembahan pada Majlis Makan Malam Persidangan Doktor di Telang Usan Hotel, Pertandingan Persembahan Kreatif 2024, persembahan di Malam Kebudayaan FORUM 2024, Pertandingan Sarawak Kid Talent Bazaar Gawai MJC 2024, persembahan di KITA FESH 2024, persembahan di Sape Serenity Rihtms That Unites 2024 dan persembahan di Festival Kraf Borneo 2024.
Lebih membanggakan, Nuel telah dilantik sebagai Duta Sape daripada Persatuan Anak Seni Sape’ Kuching (Pusak) pada tahun lalu.
Oleh Adi Safarman