SECARA realitinya, bola sepak Bahagian Sri Aman mempunyai ramai pemain muda berbakat yang perlu diberi perhatian.
Kehadiran serta penglibatan mereka mewarnai penganjuran Liga Sri Aman 2021 musim ini membuatkan kita boleh menarik nafas lega memandangkan pemain muda inilah yang akan membarisi skuad senior negeri serta berstatus kelab kelak dengan syarat bakat mereka terus digilap untuk beraksi di tahap lebih tinggi.
Bagi pasukan PC United, tidak kurang hebatnya apabila penyertaan mereka di kancah Liga Sri Aman musim ini membariskan ramai pemain ‘ubi muda’ untuk ditonjolkan dan berkomited mengetengahkan bakat mereka untuk dibawa ke peringkat seterusnya.
Antara pemain ubi muda yang mencuri tumpuan dari skuad PC United, empat pemain mereka yang berusia bawah 23 tahun dilihat begitu cemerlang biarpun telah mengharungi dua perlawanan, sekali gus watak yang dimainkan keempat-empat pemain itu adalah merupakan faktor kemenangan berturut-turut skuad itu setakat ini.
Pemain paling muda PC United, Mohd Iskandar Kumar yang baharu berusia 18 tahun ini memperagakan permainan yang berkualiti, bukan sahaja banyak mencipta ruang kepada rakan sepasukan, malah beliau antara watak penting dalam pasukan terutamanya ‘skill’ yang tinggi dimiliki oleh beliau, menjadikannya antara tumpuan utama peminat-peminat sukan bolasepak di bahagian ini, terutamanya dalam penganjuran Liga Sri Aman.
Penyerang berbadan kecil dan rendah yang bermain di posisi penyerang ini, berazam mahu membuktikan kebolehan yang dimiliki beliau sebagai batu loncatan untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini.
Gaya permainan persis S.Chanturu dikalangan peminat bola sepak bahagian Sri Aman, Muhd Hazil Arffan Kipli yang berusia 20 tahun memiliki kemahiran serta larian seperti ‘Lipas Kudung’.
Muhd Hazil Arffan yang merupakan ‘mesin gol’ PC United, menjaringkan sebanyak tiga gol setakat ini dalam saingan Liga Sri Aman, dilihat penyerang yang bakal bersinar dan andai terus digilap dan diasah sehingga menjadi pemain bintang, pemain ini mampu membuktikannya.
Bagi pemain sayap kanan yang berusia 22 tahun, Awang Syukri Awang Sarbini, adalah juga merupakan penyerang berbisa skuad PC United dengan larian serta rembatan kencang membuatkan pertahanan lawan sering gerun dengan kehadiran beliau di dalam padang.
Justeru itu, pemain muda yang mudah dikenali rakan dengan nama ‘Dedek’ ini adalah pemain yang paling konsisten dan antara kreaktor paling cemerlang di bahagian serangan dalam skuad itu, serta sering berada di dalam kesebelasan utama PC United.
Amat wajarlah pemain ini diberi peluang dan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi, tidak mustahil penyerang berbakat ini satu hari kelak akan menjadi ‘permata’ yang bernilai jika diber peluang untuk bermain dalam skuad berstatus kelab Sarawak United atau Kuching City FC.
Bagi pemain kental PC United, Mohamad Khairolazman Abdul Razak, 23, antara faktor mengapa beliau antara pemain ‘ubi muda’ yang turut menjadi tumpuan adalah kerana beliau yang mesra dipanggil ‘Iguk’ oleh rakan-rakannya, boleh beraksi dalam dua atau tiga posisi.
Watak yang dimainkan oleh Iguk iaitu pemain yang boleh bermain dalam dua atau tiga posisi itu adalah merupakan kelebihan kepada beliau yang mempunyai ciri-ciri permainan berkemahiran individu yang amat tinggi dan kekreatifan, antara pemain yang sentiasa diberi peluang untuk kesebelasan utama pasukan PC United.
Pengurus pasukan PC United, Wan Mohd Mirzan Wan Hanafi berkata, tiada pemain bertaraf bintang namun kelibat pasukan itu menyertai Liga Sri Aman musim ini mempunyai misi penting untuk membangunkan pemain ubi muda.
Lebih membanggakan katanya, salah seorang pemain paling muda mereka, Mohd Sabri Sapiee, 17, yang dikenali sebagai ‘Ayoi’ telah diserap serta menjalani latihan bersama skuad SSC Kuching U-19.
“Itulah misi utama pasukan PC United bagi musim ini, melalui fasa pembikinan dengan agenda utama mengetengahkan bakat-bakat muda melalui medium penyertaan pasukan ini dalam saingan Liga Sri Aman.
“Perkhabaran yang baik juga diterima skuad ini apabila seorang pemain paling muda, Ayoi telah diserap dalam skuad SSC Kuching U-19.
“Berita ini amat menggembirakan skuad PC United serta pengurusan dan barisan kejurulatihan diketuai pemilik pasukan PC United, Kelvin Chung, ketua jurulatih, John Ali dan dibantu dua penolong jurulatih, Jaffary Hamdan dan Martin Biju serta jurulatih kecergasan, Bennet,” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN