
KUALA LUMPUR: Pengeluar minyak sawit Malaysia perlu mempergiat usaha untuk melindung nilai dan mempelbagaikan aktiviti hiliran bagi mengurangkan risiko turun naik harga secara mendadak, kata ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau berkata demikian susulan laporan bahawa syarikat penapis India membatalkan pesanan 65,000 tan metrik minyak sawit mentah (MSM) bagi penghantaran Julai hingga September di tengah-tengah lonjakan harga baru-baru ini.
Mohd Afzanizam berkata dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat, pengeluar minyak sawit harus menggunakan instrumen pengurusan risiko proaktif untuk melindungi aliran pendapatan mereka.

Salah satu strategi yang paling berkesan, katanya, adalah penggunaan instrumen kewangan seperti derivatif
“Dengan menyertai pasaran niaga hadapan Bursa Malaysia, pengeluar boleh melindung nilai terhadap pergerakan harga yang tidak menguntungkan.
“Ini membolehkan mereka mengunci harga jualan untuk masa depan, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada turun naik mendadak dalam pasaran minyak sawit global dan memberikan kebolehramalan kewangan yang lebih besar,” katanya kepada Bernama.
Mekanisme lindung nilai sedemikian, katanya, bukan sekadar alat spekulatif tetapi komponen penting dalam strategi kewangan yang kukuh.
“Ia membolehkan pengeluar merancang dengan lebih baik, melindungi margin mereka, dan mengekalkan kestabilan dalam operasi, walaupun semasa tempoh pergolakan harga,” katanya.
Beliau berkata pembatalan oleh pembeli India, yang menyumbang 17.9 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia, telah mencetuskan kebimbangan terhadap industri yang terlalu bergantung kepada satu pasaran utama.
“Perkembangan ini menyerlahkan keperluan segera bagi Malaysia untuk mempelbagaikan eksport mereka dan mencari pasaran yang belum dimanfaatkan bagi menampung kejutan yang sama pada masa depan,” katanya.
Lima destinasi teratas yang lain ialah China, yang kini menyumbang 8.2 peratus daripada eksport minyak sawit Malaysia, diikuti oleh Kesatuan Eropah (7.7 peratus), Kenya (7.5 peratus), dan Turkiye (5.4 peratus).
“Mengukuhkan hubungan perdagangan dengan pasaran ini dan meluaskan jejak kami di dalamnya akan menjadi langkah yang logik bagi Malaysia, terutamanya dalam persekitaran semasa di mana daya tahan dan kebolehsuaian adalah kritikal,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata penyepaduan selanjutnya ke dalam aktiviti hiliran seperti oleokimia dan biodiesel boleh membantu menstabilkan pendapatan dengan memastikan permintaan yang stabil daripada pengguna industri.
Perancangan Inventori, Logistik Lebih Baik
Menyentuh usaha meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, beliau mencadangkan agar pihak berkepentingan, termasuk pengeluar, pengilang penapis dan agensi kerajaan bekerjasama dengan berkongsi platform digital yang menyalurkan maklumat data bekalan dan permintaan dalam masa nyata.
Ini akan menyokong perancangan inventori dan logistik yang lebih baik, termasuk mengoptimumkan garis masa penanaman semula, katanya.
“Bagi memastikan kestabilan pasaran untuk jangka pankang, strategi penanaman semula yang menyeluruh adalah penting. Seiring dengan keperluan pokok sawit yang lazimnya memerlukan tempoh tiga tahun hingga empat tahun sebelum berbuah, satu kitaran penanaman semula yang dirancang elok akan membantu dari segi kitaran bekalan dan mengurangkan turun naik harga yang melampau.
“Disiplin di peringkat bekalan menerusi penanaman semula berstruktur akan memberi pasaran petunjuk aliran pengeluaran bagi membolehkan pelarasan harga dalam keadaan lebih teratur,” katanya.
Mohd Afzanizam juga menekankan kepentingan penerimagunaan teknologi pertanian yang tepat seperti imejan satelit dan pemantuan dron yang dapat meningkatkan hasil tanaman, mengurangkan ketidakcekapan dan pengoptimuman pengurusan kos.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan inisiatif penyelidikan dan pembangunan dengan pihak universiti dan institusi penyelidikan, terutama dalam bidang peningkatan hasil tanaman, teknologi sisa sifar dan pemerangkapan karbon.
“Inovasi ini akan meningkatkan lagi aspek kelestarian selain mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan minyak sawit global,” katanya.
Sementara itu, Profesor Madya Dr Amirul Afif Muhamat daripada Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata walaupun lonjakan harga minyak sawit menguntungkan pekebun kecil dan syarikat perladangan besar, kenaikan secara mendadak sebaliknya boleh menjadi sesuatu yang terlalu drastik bagi pengimport.
“Saya yakin tindakan pengimport India itu sememangnya dijangkakan oleh pemain dan pihak berkuasa industri minyak sawit. Saya menjangkakan keadaan ini bersifat sementara memandangkan harga berkemungkinan besar kembali ke julat biasa dan seterusnya permintaan akan turut stabil,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, katanya, kerajaan menerusi agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia selain Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Perladangan dan Komoditi, juga akan terus aktif meneroka pasaran eksport baharu.
“Negara seperti Uzbekistan dan beberapa lain di Timur Tengah misalnya sudah pun menunjukkan minat yang ketara,” katanya.
Beliau berkata harga minyak yang sawit yang meningkat itu juga memaparkan keyakinan terhadap komoditi dan dapat ditafsirkan menerusi pertambahan pendapatan untuk penggiat minyak sawit.
“Bagaimanapun, gangguan mengejut bukannya sesuatu yang diinginkan oleh mana-mana peserta pasaran.
“Atas alasan inilah mekanisme pengurusan risiko kewangan, khususnya derivatif adalah penting dan pengurusan rantaian bekalan juga menjadi perkata utama untuk menstabilkan harga,” katanya. – Bernama