
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli menegaskan bahawa kefahaman yang tepat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) amat penting bagi mengelakkan rakyat terpengaruh dengan tafsiran salah serta retorik yang boleh menggugat keharmonian negara.
Berucap ketika perbahasan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa di Parlimen, Shafizan mengingatkan bahawa MA63 bukan sekadar kertas perjanjian, tetapi asas pembentukan Malaysia hasil persefahaman antara Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.
“Perjanjian ini membentuk hubungan antara negeri-negeri dan menjadi tonggak pembangunan negara sejak Malaysia ditubuhkan,” katanya.
Beliau kecewa dengan kewujudan pihak yang memperlekehkan MA63, termasuk tuduhan bahawa perjanjian itu ‘tidak berguna’ dan patut dibatalkan sesuatu yang disifatkannya sebagai berbahaya dan mengelirukan rakyat.
Mohamad Shafizan turut menegur kenyataan ekstrem segelintir pihak yang mencadangkan Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia sekiranya tidak bersetuju dengan MA63.
“Ia berisiko menimbulkan salah faham dan perpecahan. Penjelasan tentang MA63 perlu diperkukuh supaya rakyat memahami nilai, konteks sejarah serta kepentingannya dalam mengekalkan kesatuan negara,” tegasnya.
Beliau menggesa semua pihak agar bersikap bertanggungjawab dan tidak memanipulasi MA63 demi kepentingan sempit.
“Rakyat perlu diberi gambaran sebenar, bukannya sentimen yang membakar,” katanya.
Oleh Adi Safarman