Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pemahaman MA63 perlu diperkukuh bagi hidupkan semangat Malaysia – Fadillah Yusof
  • SEMASA

Pemahaman MA63 perlu diperkukuh bagi hidupkan semangat Malaysia – Fadillah Yusof

Utusan Sarawak 12 hours ago
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof ketika sesi bual santai di sesi resepsi dan makan malam Oxbridge Sarawak, di sebuah hotel terkemuka di Kuching, malam ini. Foto Shahrul Qaizat

KUCHING: Kefahaman terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus diperkukuh dalam kalangan pemimpin dan rakyat bagi memastikan semangat Malaysia kekal hidup serta keharmonian negara dapat dipelihara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.

Beliau berkata, masih ramai yang tidak benar-benar memahami asas pembentukan Malaysia kerana sejarah berkaitan MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) tidak diberi penekanan mencukupi dalam sistem pendidikan negara.

“Dalam proses pendidikan kita, lebih banyak ditekankan sejarah penubuhan Semenanjung Malaysia. Sejarah penubuhan Malaysia, MA63 dan IGC Report tidak banyak dimasukkan dalam silibus, sebab itu ramai yang tidak memahami,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kepentingan menghidupkan semangat Malaysia berlandaskan MA63 sempena program melibatkan alumni universiti terkemuka dunia, Cambridge dan Oxford.

Menurut beliau, tuntutan Sabah dan Sarawak bukan bersifat meminta perkara baharu, sebaliknya berlandaskan hak-hak yang telah dipersetujui dalam MA63 namun belum dilaksanakan sepenuhnya.

“Apa yang sepatutnya menjadi hak negeri telah berlaku campur tangan. Jadi perkara ini perlu diperbetulkan dan dibincangkan secara teknikal melalui jawatankuasa dan majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau menambah, usaha memperhalusi pelaksanaan MA63 bertujuan mengembalikan hak yang termaktub serta mengharmonikan hubungan Persekutuan dan negeri demi mengekalkan perpaduan negara.

Mengulas penerimaan dalam kalangan Ahli Parlimen terhadap penerangan berkaitan MA63, Fadillah berkata proses tersebut bersifat berterusan dan bergantung kepada kesediaan individu untuk memahami isu berkenaan.

“Ada yang mahu memahami dan bersama, ada yang faham tetapi tidak mahu bersama. Sekurang-kurangnya kita tahu kedudukan sokongan apabila sesuatu perkara perlu dibawa untuk undian,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan pendidikan, beliau berkata kerajaan sedang meneliti penambahbaikan kurikulum di semua peringkat agar selari dengan keperluan semasa dan masa depan, termasuk kandungan sejarah.

Katanya, dasar sedia ada menetapkan kelulusan kredit bahasa Malaysia dan sejarah sebagai syarat kemasukan ke universiti awam, namun penilaian terhadap kandungan silibus akan terus dibuat secara berperingkat.

“Perubahan tidak boleh berlaku serentak kerana ia melibatkan kohort. Ia proses berterusan dan akan dilaksanakan mengikut fasa,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Tiga pasangan pengantin Orang Asli teruja diraikan di majlis perkahwinan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.