
KUCHING: Dakwaan bahawa Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) hanya memindahkan buaya tanpa mengambil tindakan pelupusan tidak menggambarkan situasi sebenar pengurusan reptilia itu di Sarawak.
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Datuk Len Talif Salleh berkata, pelupusan buaya tetap dilaksanakan terutama melibatkan reptilia yang mengancam keselamatan penduduk, namun tindakan itu jarang dihebahkan kepada umum.
“Kita memang ada melakukan pelupusan, tetapi tidak semestinya kita hebahkan. Ada sesetengah pihak yang tidak suka apabila kita bercakap tentang membunuh buaya.
“Sebab itu kadang-kadang tindakan tersebut dilakukan tanpa publisiti. Apa yang penting ialah tindakan telah diambil untuk menjaga keselamatan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Digital Tegas.
Beliau mengulas lanjut, persepsi bahawa SFC hanya memindahkan buaya tidak tepat kerana agensi berkenaan turut mengeluarkan permit khas bagi tujuan kawalan dan pelupusan haiwan itu.
“Malah lebih 70 permit telah diberikan dan tindakan kawalan memang dijalankan. Cuma kita tidak mahu mengumumkan berapa banyak buaya yang telah dilupuskan kerana perkara ini sensitif. Kalau kita hebahkan setiap kali buaya dibunuh, pasti ada pihak yang membantah.
“Selain itu, sekiranya terdapat laporan mengenai kehadiran buaya di kawasan penempatan seperti kampung dan rumah panjang, SFC akan menilai tahap risiko sebelum menentukan tindakan yang bersesuaian sama ada memindahkan atau melupuskan reptilia tersebut,” jelasnya.
Dalam masa sama, Len Talif berkata kerajaan Sarawak sedang membangunkan beberapa kawasan perlindungan khas bagi menempatkan buaya yang ditangkap dari kawasan berpenduduk dan berisiko tinggi.
“Bagi kawasan Kuching, kerajaan telah mengenal pasti tapak seluas kira-kira 100 ekar di kawasan tanah lembap Kuching untuk dijadikan pusat perlindungan buaya.
“Buaya yang ditangkap di kawasan penempatan akan dipindahkan ke lokasi tersebut yang akan dipagar bagi mengelakkan reptilia itu keluar semula.
“Beberapa lokasi lain turut dikenal pasti untuk tujuan sama di kawasan tengah dan utara Sarawak, termasuk Pulau Seduku di Batang Lupar, Taman Negara Rajang, serta kawasan di Sibuti, Limbang dan Lawas,” ujarnya.
Tambahnya, kemudahan tersebut akan membolehkan buaya yang ditangkap di kawasan penempatan ditempatkan di lokasi yang lebih terkawal, sekali gus meningkatkan keselamatan awam dan memudahkan pemantauan jangka panjang terhadap populasi reptilia berkenaan.
Tegasnya, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan keseimbangan antara keselamatan manusia dan pemuliharaan hidupan liar dapat dikekalkan secara berterusan.
Untuk rekod, penjelasan itu dibuat susulan video tular seekor buaya di kawasan Tebingan Kuching yang mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk persoalan orang ramai mengenai pendekatan SFC dalam menguruskan populasi buaya di negeri ini.
Oleh Masrin Affirah