
KUCHING: Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak 2025 akan berlangsung pada 2 Ogos di Kompleks Sukan Satok di sini, dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti selari dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’.
Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sarawak memaklumkan majlis dijadual disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.
“Majlis ini adalah kesinambungan kepada pelancaran peringkat kebangsaan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lepas di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.
“Selain Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, pengisian utama majlis itu ialah pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), serta Karnival Kita MADANI Peringkat Sarawak 2025,” menurut JaPen Sarawak dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, persembahan hiburan PENTARAMA, Jualan Rahmah, pameran jabatan dan agensi kerajaan, serta reruai jualan yang dikendalikan Komuniti MADANI sekitar Kuching.
Pada hari berkenaan, konvoi KMJG 2025 Peringkat Sarawak akan ke destinasi pertama di Dewan Kampung Tematu, Batu Kitang sebelum meneruskan kembara ke beberapa lokasi di seluruh negeri, dibahagikan kepada lima fasa dan dijangka berakhir pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.
Setiap pergerakan konvoi akan dikemas kini dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi JaPen Sarawak, dengan pelbagai program berunsur hiburan bermaklumat turut diadakan di setiap lokasi persinggahan.
Orang ramai turut digalak menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan menyertai inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) sebagai tanda cinta kepada negara dan semangat patriotisme melalui pengibaran Jalur Gemilang di kediaman masing-masing. – Bernama