
PUTRAJAYA: Mulai 1 Julai, rakyat Malaysia akan menyaksikan versi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang telah disemak dan diperluas, justeru, jika diperhalusi, perubahan itu dirangka untuk mencapai keseimbangan halus antara kesaksamaan, daya tahan ekonomi dan kestabilan kewangan jangka masa panjang yang mampan bagi negara.
Tambahan pula, hasil tambahan daripada SST akan mengalir kembali kepada rakyat, dengan cara memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara melalui program bantuan tunai, infrastruktur dan perkhidmatan awam yang lebih baik.
Daripada melaksanakan kenaikan menyeluruh yang pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembayar cukai, pelarasan yang berhati-hati oleh kerajaan itu dirangka untuk menyokong pertumbuhan di samping memastikan sistem cukai kekal adil dan kukuh untuk seluruh rakyat.
Berasaskan Pencukaian Progresif
Langkah itu dilaksanakan tepat pada masanya dan amat diperlukan untuk menjamin kedudukan fiskal negara berada dalam keadaan teratur tanpa membebankan warga Malaysia secara keseluruhannya. Sudah pasti inilah pencukaian progresif yang dirancang oleh kerajaan.
Semakan dan peluasan SST adalah untuk memastikan golongan yang mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi boleh benar-benar menyumbang bahagian yang lebih adil, di samping melindungi sebahagian rakyat daripada tekanan kewangan yang tidak wajar.
Sebagai contoh, jika seseorang mampu membelanjakan RM60,000 setahun untuk pendidikan swasta atau kerap memanjakan diri dengan rawatan kuku dan urutan, kemungkinan individu itu juga berada dalam kedudukan yang lebih boleh membantu sistem ini (secara kewangan).
Langkah itu bersifat pragmatik memandangkan Malaysia berkedudukan baik untuk memanfaatkan kelebihan ekonominya di sebalik situasi kadar inflasi yang stabil 1.4 peratus pada April, pertumbuhan 4.4 peratus pada suku pertama, dan kadar pengangguran yang berkurangan kepada 3.2 peratus.
Ketika perbincangan mengenai kadar cukai baharu itu menjadi hangat, keperluan asas terus dikecualikan daripada cukai.
Mengikut kerangka yang telah disemak itu, rakyat Malaysia akan terus menikmati kadar cukai jualan sifar peratus bagi barangan keperluan harian seperti ayam, beras, sayur-sayuran, minyak masak dan ubat-ubatan.
Selain itu, bahan pembinaan asas kekal tidak dikenakan cukai manakala perniagaan kecil yang merekodkan perolehan di bawah ambang utama dilindungi melalui pengecualian yang ditentuukur dengan teliti.
Mesejnya amat jelas — barangan keperluan tidak dikenakan cukai.
Perubahan itu melibatkan perbelanjaan kehendak atau kemahuan serta penggunaan mewah.
Item itu merangkumi seperti “king crab”, buah-buahan import, sutera, minyak pati dan barangan antik yang dilukis tangan, yang akan dikenakan cukai jualan antara lima hingga 10 peratus. Tindakan pencukaian ke atas barangan ini adalah wajar memandangkan barangan itu bukan bersifat keperluan.
Lebih penting lagi, skop cukai perkhidmatan akan diperluas untuk merangkumi penjagaan kesihatan swasta, pendidikan, pajakan, pembinaan, kewangan dan perkhidmatan kecantikan peribadi.
Bagaimanapun, peluasan itu juga disertakan dengan ambang dan pengecualian yang jelas untuk mengelakkan sebarang kesan menyeluruh.
Hasil Kembali kepada Rakyat
Mungkin, perkara paling penting yang perlu difokuskan daripada SST adalah apakah yang dirancang oleh kerajaan dengan cukai tambahan yang dikutip, yang dianggarkan berjumlah RM5 bilion untuk tahun ini.
“Ini bukan mengenai mengumpulkan hasil. Ini mengenai bagaimana ia akan digunakan semula kembali kepada rakyat,” kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau menekankan bahawa hasil tambahan yang diraih akan terus disalurkan kembali kepada inisiatif berpusatkan rakyat seperti bantuan tunai yang dipertingkatkan melalui program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penambahbaikan infrastruktur serta perkhidmatan awam lebih baik yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Dengan erti kata lain, ia bukan sekadar mengenakan cukai untuk kepentingan cukai tetapi sebagai satu pelaburan untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial negara.
Langkah ini turut mendapat pujian daripada firma perakaunan terkemuka Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd. Mereka menggambarkan SST sebagai “langkah pragmatik ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana.”
Rakan pengurusan cukai EY Malaysia Farah Rosley berkata terdapat keperluan untuk meluaskan asas cukai Malaysia yang selama ini kecil terutama berikutan perkhidmatan dalam ekonomi yang berkembang.
Bersasar, Adil dan Berpandangan Jauh
“Semakan SST ini meneroka sumber hasil baharu dan pada masa sama terus melindungi barangan dan perkhidmatan penting. Ia bersasar, adil dan berpandangan jauh,” katanya.
Walaupun beliau mengakui terdapat sektor yang mungkin merasakan impak kecil, bergantung kepada sensitiviti harga dan kebergantungan kepada import, tekanan inflasi keseluruhan dijangka sederhana dan terkawal.
“Jika perniagaan dapat dijajarkan semula dengan cekap, kejutan harga sewajarnya adalah minimum,” kata beliau.
Penggunaan SST yang bakal dilaksanakan ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan kepada pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang dikatakan oleh sesetengah pihak mempunyai liputan lebih luas serta menjanjikan kutipan hasil yang lebih menyeluruh dan meningkat.
Bagaimanapun, perlu ditekankan SST lebih mudah diuruskan, kurang membebankan perniagaan kecil dan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan harian rakyat.
Kerajaan MADANI memilih ketepatan berbanding jumlah. Sehubungan itu, ia mengekalkan keterangkuman ekonomi dan pada masa sama memastikan kemampanan.
Pada asasnya, ini bukan sahaja merapatkan jurang fiskal. Ia mengenai mengubah haluan ekonomi Malaysia.
Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing berkemahiran rendah, meningkatkan tahap pendapatan dan menyesuaikan semula landskap pekerjaan agar sepadan dengan pelaburan bernilai tinggi.
Sehubungan itu, negara memerlukan asas fiskal yang kukuh.
Perbelanjaan untuk subsidi tanpa hasil baharu adalah tidak mampan. Ini hanya akan menambah hutang, dan generasi akan datang terpaksa menanggung akibatnya.
Pembaharuan cukai yang dicadangkan ini bukan sahaja sebagai penyesuaian dasar malah langkah ke arah membina Malaysia yang lebih kukuh dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.
Jika kita dapat melaksanakannya dengan baik, anak-anak kita akan hidup dalam Malaysia yang lebih baik.– Bernama