PENGHARGAAN… Dennis Ngau menerima cenderamata daripada Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu
Ismawi Ismuni pada Majlis Perasmian Makmal Sosio-Ekonomi -Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di Miri,
semalam.
MIRI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus komited untuk membangunkan kawasan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, misi Kerajaan Sarawak adalah untuk memastikan semua masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati hasil pembangunan.
“Saya ingin memberi jaminan kepada semua orang, sama ada mereka dari Marudi, Mulu, Telang Usan, Bario, Long Banga atau Beluru, bahawa kami bersama mereka dan tiada siapa yang akan ketinggalan.
“Kami tidak mahu kawasan luar bandar ketinggalan,” katanya pada majlis perasmian Makmal Sosio-Ekonomi -Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.
Menurut Uggah, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk 52 projek infrastruktur di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).
Katanya, ini adalah termasuk Projek Jalan Raya Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai-Long Lama.
“Seperti yang sedia maklum, HDA ialah sebuah agensi pembangunan wilayah yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) pada 2017 untuk membangunkan kawasan seluas 18,463 kilometer dari Long Lama hingga ke Upper Baram.
“Sementara itu, fokus segeranya adalah untuk merancang dan melaksanakan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, kita tidak melupakan keperluan pembangunan sosioekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di sini,” katanya.
Mengenai makmal tersebut, Uggah berharap ia akan membawa kepada program dan projek sosio ekonomi yang akan membolehkan masyarakat tempatan serta pemegang ekuiti, pekerja, petani kontrak, pemilik tanah dan lain-lain untuk mengambil bahagian.
“Melalui program dan aktiviti, kita mesti memastikan bahawa keuntungan yang dihasilkan akan disalurkan kembali untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan,” ujarnya.
Makmal selama tiga hari itu dianjurkan oleh RECODA disertai seramai 140 peserta termasuk wakil rakyat, ketua masyarakat, pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan.
Makmal itu akan mengumpulkan data asas untuk Pelan Pembangunan Strategik-Ekonomi HDAS (2022-2026) yang melibatkan analisis keseluruhan kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman landskap sosio-ekonomi rantau ini.
RECODA merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 2006 bagi memantau dan menguruskan Koridor Tenaga Diperbaharui Saawak (SCORE).
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni.
Oleh LIONG CHAI LING