KUCHING: Dalam usaha mencapai status negeri maju menjelang 2030, masa depan negeri ini dicorakkan oleh semua pihak berdasarkan merit tanpa mengira latar belakang seperti gender.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dalam usaha melangkau ke arah ekonomi digital, Kerajaan Sarawak melihat kepada peranan seseorang individu berdasarkan merit.
“Masa depan negeri ini tidak terkongkong berdasarkan jantina seseorang.
“Sesiapa sahaja yang mempunyai kelayakan dan ilmu-ilmu terkini selaras denga era baharu dan seterusnya membawa perubahan kepada negeri ini, individu itu akan bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 (HWA21) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.
Tambahnya, pembangunan Sarawak ke arah 2030 yang berteraskan teknologi agak mencabar.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengukuhkan ilmu yang diiktiraf antarabangsa dengan meletakkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penting selain Bahasa Malaysia.
“Kita juga menggubal dasar-dasar pendidikan yang lebih praktikal selaras dengan era kini namun ia tidak lari dengan dasar Pendidikan Nasional,”ujarnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN