PELITUP muka memainkan peranan penting dalam kehidupan masa ini ketika berdepan dengan wabak pandemik Covid-19.
Orang awam yang berada ditempat awam diwajibkan menggunakan pelitup muka bagi menghindarkan jangkitan virus berbahaya tersebut.
Hanya kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah tidak diwajibkan memakai pelitup muka.
Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai anak-anak berusia 2 tahun ke bawah dinasihati supaya tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam.
Sekiranya tidak memakai pelitup muka ditempat awam atau lokasi jangkitan wabak pandemik Covid-19, risiko jangkitan adalah tinggi dan berbahaya, oleh itu pemakaian pelitup muka adalah perlu bagi merendahkan risiko jangkitan.
Berdasarkan sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengguna pelitup muka dinasihatkan supaya jangan sesekali berkongsi pelitup muka dengan orang lain.
Selain itu, pengguna pelitup muka juga dinasihatkan supaya jangan memakai pelitup muka dibawah dagu, jangan menyentuh bahagian dalam dan luar pelitup muka 3 lapis, jangan letak pelitup muka merata-rata dan jangan pakai pelitup muka yang rosak, longgar, kotor dan basah.
Terdapat dua jenis pelitup muka yang digunakan dan disarankan kepada pengguna.
Dua jenis pelitup muka tersebut ialah pelitup muka 3 lapis dan pelitup muka fabrik.
Pelitup muka 3 lapis disarankan untuk petugas kesihatan, orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan, berpenyakit kronik, orang awam golongan berisiko tinggi yang berada di kawasan jangkitan wabak pandemik Covid-19 dan penjarakan sosial sukar diamalkan dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Pelitup muka fabrik pula disarankan oleh KKM untuk golongan tidak mengalami gejala pernafasan dan berada di tempat jangkitan Covid-19 tersebar luas dan penjarakan sosial sukar diamalkan, golongan pekerja dan orang awam sihat yang berada di tempat awam.
Bagi pelitup muka 3 lapis, pemakaiannya hanya sekali sahaja dan dipakai tidak melebihi 8 jam dan jika bergejala tidak melebihi 4 jam.
Untuk pelitup muka fabrik, pengguna tidak digalakkan menggunakan pelitup muka yang menyukarkan pernafasan dan menggunakan pelitup muka fabrik yang boleh diguna semula lepas dicuci dengan cara yang betul.
Dalam pada itu, KKM turut menghebahkan panduan kaedah melupuskan pelitup muka 3 lapis secara infografik untuk panduan orang awam.
Kaedahnya ialah putuskan bahagian tepi pada pelitup muka, lipat pelitup muka ke arah dalam dengan kemas dan ikat menggunakan tali yang telah diputuskan, buang pelitup muka yang dipakai ke dalam tong sampah yang bertutup dan cuci tangan dengan air dan sabun selepas membuang pelitup muka terpakai.
Selain dari pemakaian pelitup muka, apa yang paling penting bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM.
Disamping itu, sentiasa peka dengan perkembangan situasi semasa laporan berkenaan Covid-19 dari KKM dan bagi kita di negeri Sarawak, pekembangan laporan harian boleh diketahui lanjut dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Masyarakat juga perlu bekerjasama dalam menyekat wabak Covid-19 ini dari terus merebak.
Bersama amalkan norma baharu dan mematuhi penggunaan SOP di tempat awam serta jaga kerbersihan diri selalu.
Oleh Earl Anek