Mempunyai pelbagai corak dan warna, pelitup muka bergaya ‘pua kumbu’ atau bermotifkan corak Borneo ciptaan seorang ahli perniagaan Dayak mendapat banyak tempahan sehingga menarik minat pembeli sehingga menembusi pasaran antarabangsa.
Dengan nilai dan keunikan yang tersendiri, Rowena Cliffton, 35, mengakui corak yang mengutamakan nilai kesatuan tersebut turut memberi mesej kepada masyarakat untuk sentiasa berganding bahu dalam memerangi pandemik Covid-19.
“Corak bermotifkan Borneo atau ‘pua kumbu’ ini mempunyai keunikan yang tersendiri dan ia menjadi lambang kebanggaan penduduk di Borneo.
“Saya mula mendapat idea dan inspirasi untuk membuat pelitup muka bergaya ini setelah ramai pelanggan yang mengesyorkan corak tersebut dan ia sejajar dengan seruan kerajaan untuk membendung wabak Covid-19 ini.
“Selain itu, mereka juga menyatakan keyakinan ketika menggunakan pelitup muka ini kerana coraknya yang menarik dan unik untuk digayakan,” jelasnya yang juga merupakan pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan di Universiti Malaysia Sarawak.
Menjelas lanjut, Rowena mengakui pelitup muka bercorakkan ‘pua kumbu’ tersebut turut menarik minat orang luar negara.
“Pelitup muka bercorakkan ‘pua kumbu’ ini tidak hanya mendapat tempat di hati masyarakat di Malaysia bahkan ia turut menembusi pasaran antarabangsa sehingga ke Singapura, Brunei, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Pakistan. Mereka turut membelinya secara atas talian dan sehingga kini lebih 5,000 keping yang telah terjual.
“Selain coraknya yang unik, para pelanggan juga memberikan komen yang baik mengenai keselesaan mereka sewaktu menggunakan pelitup muka tersebut,” ujarnya.
Beliau yang juga berharap dapat berkongsi ilmu keusahawanan dengan orang ramai suatu hari nanti turut menjelaskan bahawa pelitup muka tersebut mempunyai tiga lapisan di dalam rekaan tersebut.
“Pelitup muka bercorak ‘pua kumbu’ ini mempunyai tiga lapisan di mana kain pua kumbu sebagai lapisan luar pelitup muka, lapisan kedua ialah poket penapis (filter pocket) dan lapisan ketiga menggunakan fabrik kain satin yang bertujuan memberi keselesaan kepada para pengguna.
“Kain satin digunakan kerana ia sesuai digunakan oleh semua orang termasuk individu yang mempunyai kulit muka yang agak sensitif,” tambahnya yang juga bercita-cita untuk meluaskan jualan produk bermotifkan ‘pua kumbu’ ke seluruh dunia selaras dengan perkembangan teknologi dunia.
Oleh RYNNA SHA’ERRA