Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Pelita gergasi dan replika tradisional memeriahkan Festival Pelita Raya
  • NASIONAL

Pelita gergasi dan replika tradisional memeriahkan Festival Pelita Raya

Utusan Sarawak 3 hours ago
SEORANG pekerja menyalakan pelita sempena Festival Pelita Raya 2026 terbesar yang berlangsung di Taman Jubli Emas, menampilkan 6,000 pelita besi dan 1,000 pelita buluh. Festival yang berlangsung dari 10 hingga 29 Mac ini mempamerkan pelbagai replika tradisional berkonsepkan Melayu dan Kedah, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia sambutan Malam Tujuh Likur menjelang Syawal dan menarik kehadiran masyarakat setempat serta pengunjung luar. Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Suasana malam di Taman Jubli Emas, di sini, berubah menjadi panorama cahaya memukau apabila ribuan pelita menerangi kawasan tersebut sempena penganjuran Festival Pelita Raya 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 29 Mac ini.

Festival anjuran AA Global Enterprise yang dikatakan terbesar di Malaysia itu menampilkan pelbagai replika berkonsepkan warisan Melayu dan Kedah yang dibina menggunakan kira-kira 6,000 pelita besi, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia tradisi malam tujuh likur menjelang kedatangan Syawal.

Penolong pengurusnya, Azhani Osman berkata selain pelita besi, sebanyak 1,000 pelita buluh turut dipasang di sekitar kawasan festival bagi mewujudkan suasana kampung yang autentik serta menarik kehadiran masyarakat setempat dan pengunjung dari luar.

SEORANG pekerja menyalakan pelita sempena Festival Pelita Raya 2026 terbesar yang berlangsung di Taman Jubli Emas, menampilkan 6,000 pelita besi dan 1,000 pelita buluh. Foto BERNAMA

“Orang ramai yang berkunjung ke festival ini boleh menyaksikan 11 replika tradisional yang dihasilkan menggunakan pelita, antaranya Masjid Zahir, Menara Alor Setar, keris serta kapal terbang.

“Saya mendapat idea untuk menganjurkan festival pelita ini di Kedah kerana saya berasal dari Yan dan saya rasa sebelum ini belum pernah ada festival seperti ini diadakan di negeri ini,” katanya kepada Bernama hari ini sambil menambah semua reka bentuk replika datang daripada idea beliau sendiri.

Beliau berkata penganjuran festival itu bukan sesuatu yang mudah kerana pihaknya berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor cuaca seperti angin kencang dan hujan yang boleh menyebabkan api pelita terpadam.

Bagaimanapun, katanya, seramai 20 pekerja akan memastikan semua pelita dinyalakan semula sekiranya terpadam, walaupun proses menyalakan semua pelita itu mengambil masa hampir dua jam.

Selain itu, Azhani berkata pihaknya turut menanggung kos penggunaan minyak diesel antara 300 hingga 600 liter sehari bagi memastikan kesemua pelita dapat dinyalakan sepanjang festival berlangsung.

Dalam masa sama, festival tersebut turut menampilkan percubaan mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records (MBR) menerusi pembinaan pelita gergasi berukuran 20 meter lebar, 15 meter tinggi dan 65 meter ukur lilit yang dijangka siap selewat-lewatnya Isnin ini.

SEORANG pekerja menyalakan pelita sempena Festival Pelita Raya 2026 terbesar yang berlangsung di Taman Jubli Emas, menampilkan 6,000 pelita besi dan 1,000 pelita buluh. Foto BERNAMA

Beliau berkata pelita gergasi itu dibina menggunakan kira-kira lima tan besi serta 286 keping panel aluminium komposit  (ACP) dan bakal menjadi tarikan utama kepada pengunjung.

Majlis pelancaran pelita gergasi itu dijadualkan berlangsung pada Selasa depan, yang seterusnya disertai majlis penyerahan pengiktirafan daripada MBR.

Azhani berkata selepas menerima pengiktirafan itu, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Guinness World Records untuk cuba mengatasi rekod yang kini dipegang oleh Kanada.

Festival yang dibuka setiap hari dari 7.30 malam hingga 12.00 tengah malam itu turut menampilkan pelbagai tarikan lain seperti hiasan lampu bunga, pertunjukan api, permainan kanak-kanak serta muzium pelita.

Tiket masuk dijual pada harga RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, selain pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kereta BMW 3 Series. – Bernama

Continue Reading

Previous: Konflik Asia Barat: Umat Islam dinasihat tangguh perjalanan umrah – Mufti
Next: Pemerkasaan penguatkuasaan sempadan Sabah dan Sarawak fokus utama JTPAP – Armizan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.