KUCHING: Adat dan budaya pemakaian gelang tembaga di kalangan wanita Bidayuh atau juga dikenali sebagai ‘The Ring Lady’ semakin pudar ditelan zaman.
Demi memelihara keunikan budaya serta adat ‘The Ring Lady’, Presiden Persatuan Kraftangan dan Cenderamata Sarawak, Gerald Goh menaburkan baktinya dengan berus dan cat warna bagi mendokumentasikan keindahan dan keunikan adat tersebut agar tidak dilupakan.
Baginya adat ini bakal pupus satu hari nanti. Namun masih ada harapan sekiranya ada langkah yang diambil oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Dalam masa beberapa tahun, budaya mereka mungkin akan pupus. Mereka hanya tinggal empat orang sekarang. Salah seorang daripada mereka sudah tidak memakai kerana semakin tua manakala seorang lagi sakit.
“Kita mesti berusaha untuk mengekalkannya (adat). Sebagai seorang artis, apa yang saya mampu lakukan adalah mendokumentasikannya menjadi sebuah lukisan,”katanya.
Dalam pada itu katanya, pemakaian gelang tembaga ini mesti dipupuk sejak kecil lagi, namun, waris ‘The Ring Lady’ kini masih bersekolah dan tidak dapat menggunakan gelang tersebut atas sebab mematuhi larangan pihak sekolah.
Oleh hal demikian, bagi menjaga dan melindungi adat ini mungkin pihak kerajaan perlu mencari serta mengkaji kaedah bagi membenarkan pemakaian gelang tersebut di sekolah.
“Budaya Bidayuh begitu unik di Sarawak dan kita mesti berusaha untuk mengekalkannya. Jika anda tidak dapat benar-benar memeliharanya, kemudian saya berfikir bahawa sebagai seorang artis, saya melukis dan mendokumentasikannya supaya sekurang-kurangnya boleh direkod.
“Kita harus mengekalkan budaya ini tetapi kita tidak tahu bagaimana. Sebab mereka hanya tinggal empat orang sekarang kerana mereka sudah memakainya sejak kecil dan waris-warisnya terpaksa meninggalkan budaya tersebut demi mengejar masa hadapan,”katanya.
Cinta dan kasih sayang Gerald Goh terhadap Bumi Kenyalang terpampang jelas apabila sering mencuba meletakkan secebis adat serta budaya Sarawak di setiap karyanya agar tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas dan terus dibawa arus peralihan zaman yang menghanyutkan dan menghancurkan permata budaya Sarawak ini.
Pesannya kepada para karyawan segar(muda), sekiranya mahu memasuki industry seni, mereka perlu belajar dan menguasai pelbagai teknik lukisan.
“Setelah memahiri pelbagai teknik, berkaryalah dengan gaya anda yang tersendiri agar anda memiliki kelainan…Itu yang penting,”katanya.
Mengulas mengenai buku ‘The Sarawak ArtList’ , beliau menjelaskan bahawa jilid dua buku tersebut akan dilancarkan sebelum tirai 2024 dibuka.
Jilid kedua buku tersebut akan memiliki kelainan berbanding keluaran pertama buku tersebut.
“The Sarawak ArtList yang diterbitkan tahun lepas menampilkan lima ‘Legendary Master’, 15 ‘Living Master’, 30 artis yang aktif seorang jurugambar, dua artis istimewa, seorang artis muda dan seorang artis jemputan jadi termasuk saya ada 56 artis.
“Untuk jilid kedua, saya akan melibatkan artis kraftangan di Sarawak. Seperti kita tahu Sarawak mempunyai pelbagai suku kaum yang kaya dengan adat dan budaya masing-masing.
“Saya masih mengekalkan cara ini, sekurang-kurangnya lima atau enam daripada mereka adalah legenda (sudah meninggal dunia), kemudian 15 hingga 20 master dan selebihnya akan menjadi artis yang aktif.
“Kami juga masukkan serba sedikit tentang artis kelaianan upaya kerana mereka tidak dapat bertutur dan mendengar tetapi mereka melakukannya melalui lukisan,”katanya.
Oleh Shahrul Qaizat & Mohd Neenatul Aizal