KUCHING: Ladang hutan diharap dapat mengurangkan tekanan ke atas hutan semula jadi di negeri ini selain dapat meningkatkan penutupan hutan negeri untuk mengurangkan kesan rumah hijau, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Katanya, Sarawak komited untuk memelihara keseimbangan hutan yang baik untuk selama-lamanya termasuk pemuliharaan biodiversiti dan fungsi ekosistem.
“Ini bermakna lebih banyak kayu mesti diperoleh daripada sumber lain. Ladang hutan menawarkan sumber kayu yang menjanjikan.
“Ladang hutan yang diuruskan secara intensif dan mampan perlu memainkan peranan penting untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk kayu dan mengelakkan pengurangan lagi hutan semula jadi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian ‘3rd International Union Of Forest Research Organizations (IUFRO) Acacia Webinar 2021’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, semalam.
Tambahnya, ladang hutan juga diiktiraf sebagai bahagian penting dalam pendekatan strategik untuk pengurusan sumber hutan yang mampan.
“Memandangkan trend penurunan pengeluaran balak dari hutan semula jadi tropika kita, adalah amat penting untuk meningkatkan skala operasi dan produktiviti ladang hutan dengan cekap bagi menghasilkan kayu balak berkualiti yang mencukupi untuk mengimbangi kekurangan bekalan balak daripada hutan semula jadi,” jelasnya.
Pada 1996, Sarawak memulakan penanaman hutan secara besar-besaran sebagai strategi jangka panjang ke arah menyediakan sumber bahan kayu baharu untuk industri berasaskan kayu di negeri ini.
Dengan penanaman spesies yang berkembang pesat, Kerajaan Sarawak berharap untuk mewujudkan sejuta hektar industri hutan menjelang 2025.
Webinar yang bermula semalam merupakan platform yang sangat penting untuk menjalinkan rangkaian, perkongsian maklumat yang diharap akan membawa kepada banyak kerjasama terutama bagi mereka yang terlibat dalam industri perladangan hutan.
“Kita di Malaysia, khususnya Sarawak, masih agak ketinggalan berbanding negara Asia lain dalam pembangunan ladang hutan.
“Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) adalah salah satu inisiatif utama untuk menangani jurang yang dihadapi seperti ketiadaan bahan penanaman berkualiti tinggi, kejadian perosak dan penyakit, spesies yang sesuai untuk ditanam antara lain, yang perlu ditangani secara holistik bagi memastikan kejayaan mencapai objektif utama pembangunan ladang hutan,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN