
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa masyarakat Dayak agar terus memelihara budaya serta semangat perpaduan yang menjadi teras sambutan Gawai Dayak 2025.
Dalam perutusan sempena sambutan Gawai Dayak 2025, beliau bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, turut mengucapkan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh rakyat Sarawak yang meraikan perayaan itu.
Menurut beliau, Gawai Dayak bukan sekadar simbol kesyukuran atas hasil tuaian padi, malah mencerminkan nilai perpaduan, keharmonian serta kekayaan budaya masyarakat Dayak yang wajar terus dipelihara dan dibanggakan.
“Tradisi seperti ngajat, ruai, ai pengayu serta amalan gotong-royong dalam persiapan perayaan adalah warisan yang perlu dipertahankan oleh generasi akan datang,” katanya.
Tun Wan Junaidi turut menzahirkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang gigih memelihara adat resam dan kesenian Dayak melalui pelbagai program masyarakat yang memberi impak positif.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan semasa pulang ke kampung bagi meraikan perayaan, dan tidak menyalahgunakan kemudahan jalan raya sebagai tempat berlumba.
“Biarlah lambat asalkan selamat tiba ke pangkuan keluarga,” katanya.