
KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan dua menteri utama tidak akan menganggu kemajuan dalam menyiapkan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kebangsaan (NESP) serta Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) memandangkan kedua-duanya hampir lengkap, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau mengesahkan pelan RMK-13 hampir siap untuk dibentangkan kepada Kabinet manakala usaha bagi NESP giat diteruskan.
“Semua kementerian memahami kepentingan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus), dan kalangan penjawat awam berusaha merangkanya dengan idea jelas yang mereka mahu laksanakan,” katanya kepada pemberita di luar Simposium Forward Faster 2025 anjuran UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemajuan dalam menyiapkan NESP dan RMK-13.
Dokumen RMK-13 dilaporkan dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan.
Bagaimanapun, beliau berkata garis masa muktamad untuk pelaksanaan NESP masih belum dapat disahkan.
Ini berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, yang akan berkuat kuasa 4 Julai ini.
Terdahulu ketika menyampaikan ucaptama di simposium itu, Hanifah Hajar berkata NESP sejajar dengan rangka kerja ESG global dan melengkapkan enam tonggak di bawah Rangka Kerja Strategik Kelestarian Negara dan ESG Industri.
“NESP ialah inisiatif komprehensif yang bertujuan membimbing perniagaan Malaysia ke arah pematuhan ESG dan amalan mampan. Pelan itu akan menyokong entiti perniagaan Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana secara berperingkat, bukan sahaja untuk melaksanakan pelaporan ESG malah juga selain langkah pematuhan,” katanya.
Simposium sehari itu menghimpunkan lebih 200 peserta, termasuk eksekutif peringkat tinggi, pengamal kelestarian dan pemimpin perniagaan.
Acara bertemakan “Accelerating Corporate Sustainability Commitments for a Resilient Future” itu mengetengahkan perbincangan mendalam dan dialog peringkat tinggi mengenai peranan perniagaan yang semakin berkembang dalam mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Perbincangan itu tepat pada masanya ketika masalah ekonomi dan ketegangan geopolitik kini semakin buruk.
Pada masa sama, pemimpin korporat Malaysia juga semakin mengukuhkan komitmen ESG masing-masing dan menjadikan kemampanan sebagai alat strategik untuk menguruskan risiko, memacu nilai jangka masa panjang, dan menyumbang kepada pembangunan negara.
-Bernama