
ISTANBUL: Pelepasan sementara tarif timbal balik selama 90 hari antara China dan Amerika Syarikat (AS) adalah selaras dengan kepentingan kedua-dua negara dan ekonomi global, kata China semalam, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Langkah itu “menepati jangkaan pengeluar dan pengguna di kedua-dua negara,” menurut kenyataan Kementerian Perdagangan China, susulan pengumuman perjanjian yang dicapai dalam rundingan hujung minggu lepas di Geneva, Switzerland.
Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer mengadakan rundingan menyeluruh dengan delegasi China yang diketuai Naib Perdana Menteri merangkap ketua perunding perdagangan, He Lifeng.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan pengurangan besar-besaran tarif yang menghukum itu bagi tempoh awal 90 hari, menandakan detik melegakan yang jarang terjadi dalam konflik perdagangan yang berpanjangan dan meningkatkan harapan kestabilan ekonomi jangka panjang, menurut kenyataan bersama dari Washington dan Beijing pada Isnin.
“Kami berharap AS akan terus bekerjasama dengan China secara saling menghormati berdasarkan pertemuan ini, membetulkan sepenuhnya amalan peningkatan tarif secara unilateral, memperkukuh kerjasama saling menguntungkan, mengekalkan pembangunan hubungan perdagangan dan ekonomi China-AS yang sihat, stabil dan mampan, serta bersama-sama menyuntik lebih kepastian dan kestabilan kepada ekonomi dunia,” menurut Kementerian Perdagangan China.
Melalui perjanjian di Geneva itu, dua kuasa ekonomi terbesar dunia akan mengurangkan tarif secara ketara, dengan AS menurunkan kadar tarif ke atas barangan China daripada 145 peratus kepada 30 peratus, manakala China mengurangkan tarifnya daripada 125 peratus kepada 10 peratus menjelang 14 Mei.
Kedua-dua negara turut bersetuju untuk melancarkan mekanisme dialog baharu bagi mengekalkan momentum kerjasama, yang akan diketuai oleh He, Bessent dan Greer. – Bernama – Anadolu