
MARUDI: Sebanyak RM47 juta diperuntukan untuk membina dua lagi Tebingan Sungai (Waterfront) Marudi menurut Timbalan Menteri Kesihataan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil.
Daripada jumlah tersebut RM12 juta adalah untuk membina Waterfront fasa 2 sementara RM35 juta dari Fort Hose ke Dewan Suarah Marudi yang melibatkan keseluruhan 1.5 kilometer.
Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata, jambatan Marudi yang telah siap pada tahun 2024 memudahkan pergerakan penduduk Marudi terutama ke Miri dan kini kerajaan akan meneruskan banyak lagi pembangunan infrastuktur seperti pembinaan jalan baharu iaitu pembinaan jalan Miri-Marudi-Long Lama dank e Long Panai (3M2L).
“Kerajaan juga akan melaksanakan pelbagai infrastruktur lain seperti Jalan dari pekan Lapok ke Long Tisam yang telah dirasmikan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan pada 12 April tahun ini kita juga akan menyaksikan Majlis Pecah Tanah pembinaan Jalan Ulu Teru yang telah diperuntukan sebanyak RM60 juta,” katanya.
Selain itu menurut beliau kerajaan juga akan meneruskan pembinaan projek bekalan air fasa 2, Tinjar yang boleh membekalkan air bersih ke rumah panjang yang berdekatan jalan utama di kawasan Marudi.
Sehubungan itu beliau menyatakan bahawa kerajaan juga akan membina sebuah lagi jambatan iaitu menyeberangi Sungai Tinjar, Batang Tinjar di Long Teran yang akan menelan belanja lebih RM100 juta termasuk pembinaan jalan masuk ke Long Teran ke Simpang Long Tisam.
“Projek-projek prasarana lain seperti Pejabat Daerah Beluru bakal kita adakan dan juga projek Dewan Masyarakat pekan Lapok yang menelan belanja sebanyak RM4 juta,” tambah Penguang ketika memberitahu media semasa mengadakan kunjungan Aidilfitri pada hari kedua di Marudi.
Oleh Jiku Juguong