Pelbagai pengisian menarik warnai Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei 2026

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Setiausaha kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee mendedahkan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik menanti orang ramai sepanjang Program SKS Bahagian Sarikei 2026.

SARIKEI: Pelbagai pengisian menarik menanti orang ramai sepanjang Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos ini, termasuk penyampaian pelbagai inisiatif kerajaan, konsert rakyat, aktiviti riadah dan lawatan kerja Premier Sarawak.

Timbalan Setiausaha kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, pada 8 Ogos, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual mengadakan aktiviti berjalan santai (bristwalk) di Taman Tasik Sarikei sebelum bersarapan bersama komuniti di Bazar MARA.

Selepas itu, katanya, Premier Sarawak kemudiannya akan merasmikan Program SKS Bahagian Sarikei 2026 di pentas utama pada 10.30 pagi.

“Pada majlis perasmian, akan disampaikan adalah Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan Yayasan Sarawak International School.

“Sejurus selesai majlis perasmian, Premier Sarawak dijadual mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Bypass Sarikei yang kini hampir siap bagi mendengar taklimat dan meninjau sendiri perkembangan pembinaannya sebelum berlepas pulang ke Kuching,” katanya pada sidang media di tapak Pentas Utama Program SKS Bahagian Sarikei, Kompleks Sukan Sarikei, hari ini.

Terdahulu, katanya, pada malam 7 Ogos, satu majlis makan malam bersama masyarakat Sarikei akan diadakan dengan menghimpunkan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dari seluruh Bahagian Sarikei.

Tambahnya, kemeriahan program diteruskan pada malam 8 Ogos menerusi Konsert Rakyat yang menampilkan artis terkenal tanah air seperti Amelina, Bob Yusof dan beberapa artis jemputan lain bagi menghiburkan pengunjung.

“Hari ketiga, iaitu pada Ahad, kita akan memulakan program dengan Jalan Santai (Fun Walk) sejauh tiga kilometer dan Larian Santai (Fun Run) sejauh lima kilometer.”

“Setakat ini, kita sudah merekodkan lebih 2,000 peserta dan berharap lebih ramai akan menyertainya,” katanya lagi.

Katanya, majlis penangguhan Program SKS Bahagian Sarikei 2026 akan dirasmikan oleh Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom pada 4.00 petang, 9 Ogos.

Oleh Earl Anek