
Tahap pencemaran di ibu negara India itu kini menjadi faktor dalam keputusan untuk berkeluarga memaksa sebilangan kecil namun semakin meningkat penduduknya untuk berpindah akibat risiko kesihatan yang dikaitkan dengan udara beracun. Foto AFP
BENGALURU, India: Tahap pencemaran udara yang membimbangkan di ibu negara India menjadi faktor penentu bagi Natasha Uppal dan suaminya dalam membuat keputusan mengenai keibubapaan sama ada membesarkan anak jauh dari bandar, atau kekal di Delhi dan hidup tanpa zuriat.
New Delhi dan kawasan metropolitannya, yang dihuni lebih 30 juta penduduk, sering menduduki tangga teratas dunia bagi pencemaran udara paling buruk.
Uppal, yang membesar di bandar itu, sering mempertimbangkan untuk berpindah apabila terpaksa berkurung dalam rumah dengan alat pembersih udara sentiasa berfungsi, atau ketika mengalami migrain yang teruk.

Titik perubahan berlaku apabila mereka merancang untuk mempunyai anak.
“Kami fikir tentang apa yang boleh kami sediakan untuk anak kami di Delhi,” katanya kepada AFP, “udara menjadi penghalang utama kepada kebanyakan perkara itu.”
Pada 2022, pasangan itu berpindah ke Bengaluru. Beberapa hari selepas perpindahan, beliau disahkan hamil.
Mereka kini antara kelompok kecil namun semakin bertambah keluarga yang meninggalkan Delhi kerana kebimbangan terhadap risiko kesihatan akibat pencemaran.
Uppal, 36, pengasas kumpulan sokongan kesihatan ibu Matrescence India, menyifatkan keputusan berpindah sebagai tindakan paling tepat.
Pencemaran di Bengaluru kadangkala masih melebihi tiga kali ganda had yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), namun jauh lebih baik berbanding kabus tebal yang menyelubungi Delhi selama berbulan-bulan.

Kini, anak lelakinya bebas bermain di luar sepuas hati.
“Udara bersih sepatutnya menjadi hak asasi manusia,” tegasnya. “Semua orang patut boleh terima itu sebagai perkara biasa.”
3.8 Juta Kematian
Setiap musim sejuk, Delhi diselubungi kabus beracun, gabungan pembakaran sisa pertanian, pelepasan industri dan kesesakan lalu lintas.
Tahap PM2.5, zarah halus penyebab kanser yang cukup kecil untuk memasuki aliran darah pernah mencecah 60 kali ganda had WHO.
Meskipun pelbagai langkah telah dijanjikan, seperti larangan kenderaan secara berperingkat dan penggunaan trak penyembur air, hasilnya tetap mengecewakan.

Tahun ini, pihak berkuasa merancang ujian pembenihan awan bagi mengurangkan pencemaran.
Menurut kajian dalam The Lancet Planetary Health tahun lalu, sebanyak 3.8 juta kematian di India antara 2009 hingga 2019 dikaitkan dengan pencemaran udara.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut memberi amaran bahawa udara tercemar meningkatkan risiko jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak.
Nebuliser dan Inhaler
Bagi Vidushi Malhotra, 36, kemuncak tekanan berlaku pada 2020 apabila anak lelakinya yang berusia dua tahun sering jatuh sakit.
“Kami ada tiga pembersih udara yang berfungsi 24 jam, kemudian saya perlukan lebih lagi,” katanya.
Setahun kemudian, mereka sekeluarga berpindah ke Goa. Beliau turut mengajak rakan-rakan berpindah, mencetuskan apa yang dipanggilnya “pergerakan mini”.
Beberapa orang mengikut jejaknya.
“Saya terpaksa pulang dan lihat orang tersayang melalui semua ini,” ujarnya. “Ia benar-benar menyedihkan.”
Sementara itu, ada juga yang masih kekal di Delhi, seperti Roli Shrivastava, 34, yang hidup dalam kebimbangan berterusan setiap kali musim sejuk menghampiri.
Beliau sentiasa menyediakan inhaler untuk alahan asapnya, dan nebuliser untuk anak kecilnya yang batuk semakin teruk apabila suhu menurun.
“Doktor beritahu kami musim sejuk memang sukar,” katanya. “Dia cuma pesan, ‘Bila anak mula batuk waktu malam, jangan tunggu teruskan nebuliser.’”
Kini, Shrivastava bersiap sedia untuk musim sejuk lagi mengehadkan aktiviti luar anaknya, menggunakan pembersih udara, dan memantau kualiti udara setiap hari.
Setiap kali pulang ke kampung halaman suaminya di Chennai, kesihatan anaknya bertambah baik “secara drastik”.
“Hidungnya berhenti berair, batuknya hilang,” katanya.
Shrivastava dan suaminya, yang bekerja dengan sebuah organisasi advokasi global, mengakui mereka mungkin sudah lama berpindah jika bukan kerana kerjaya yang mereka cintai.
Namun perpindahan tetap berada dalam fikiran.
“Dengan keadaan sekarang, saya rasa Delhi bukan tempat yang sesuai untuk membesarkan anak — sekurang-kurangnya dari segi pencemaran udara,” katanya. – AFP