
KUCHING: Kira-kira 4,000 penumpang AirBorneo dijangka terjejas susulan pelarasan sementara jadual penerbangan membabitkan beberapa laluan terpilih di seluruh rangkaian syarikat penerbangan itu bagi tempoh 6 Julai hingga 24 Oktober depan.
AirBorneo dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kebolehpercayaan armada dan memperkukuh prestasi jadual penerbangan.
Menurut kenyataan itu, pelarasan berkenaan dibuat susulan beberapa pesawat ATR72 dan DHC-6 Twin Otter terpaksa digantung operasi akibat keperluan penyelenggaraan tidak berjadual serta kekangan rantaian bekalan global yang menjejaskan ketersediaan komponen dan alat ganti kritikal.
Katanya, syarikat sedang bekerjasama rapat dengan rakan kejuruteraan serta pengeluar peralatan asal (OEM) bagi mempercepatkan proses pembaikan dan mengembalikan pesawat yang terjejas ke dalam perkhidmatan.
“Berbanding meneruskan pembatalan penerbangan secara ad hoc pada saat akhir, AirBorneo memilih untuk melaksanakan semakan jadual secara tersusun dan telus.
“Pendekatan ini membolehkan penumpang merancang perjalanan lebih awal, selain membantu syarikat mengoptimumkan penggunaan pesawat yang tersedia serta memberi ruang kepada kerja-kerja penyelenggaraan penting,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang tempoh pelaksanaan, sebanyak 594 penerbangan akan diselaraskan, manakala kira-kira 1,337 lagi penerbangan akan mengalami perubahan waktu berlepas.
Penumpang yang terjejas akan ditempatkan semula pada penerbangan seterusnya sama ada pada hari yang sama atau keesokan harinya.
AirBorneo turut memberi jaminan bahawa semua destinasi dalam rangkaiannya akan terus beroperasi tanpa sebarang laluan digantung atau dihentikan sepanjang tempoh pelaksanaan pelarasan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, semua penumpang yang terjejas akan diuruskan mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), termasuk pilihan penjadualan semula penerbangan, bayaran balik serta bantuan lain yang berkaitan.
Selain itu, pelarasan jadual berkenaan tidak melibatkan sebarang kenaikan tambang bagi laluan yang terjejas.
AirBorneo memaklumkan, syarikat turut memaklumkan pelarasan sementara itu kepada Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).
Dalam jangka panjang, AirBorneo akan melaksanakan pelan pembaharuan armada menerusi pengenalan pesawat ATR72-600 dan ATR42-600 secara berperingkat antara suku ketiga 2027 hingga suku ketiga 2029 bagi meningkatkan kebolehpercayaan operasi, daya tahan perkhidmatan serta pengalaman pelanggan.




