
LAWAS: Semua jabatan dan agensi di Bahagian Limbang diminta membuat pelaporan kemajuan pelaksanaan projek di bawah agensi masing-masing mengikut format yang betul dan telus.
Langkah ini penting bagi memastikan setiap perincian projek dikenal pasti secara khusus termasuk isu berbangkit serta pendekatan penyelesaian yang diambil.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, turut menekankan agar setiap agensi dan jabatan pelaksana membentangkan senarai projek yang berjalan mengikut jadual serta projek yang berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal.

“Mengenai kemajuan projek, ada yang berjalan dengan sangat baik, ada yang masih dalam pembinaan, dan ada yang berada di peringkat perancangan. Oleh itu, saya bertanya kepada mereka sebab-sebab kelewatan dan mencari cara untuk mempercepatkan projek tersebut.
“Kita mesti melihat kisah kejayaan kita, ada projek yang siap lebih awal daripada jadual dan ini adalah penanda aras untuk meningkatkan pelaksanaan projek lain,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Bahagian Limbang di Majlis Daerah Lawas, malam tadi.
Awang Tengah menegaskan kejayaan program pembangunan kerajaan mesti memberi impak kepada rakyat, selain mencari penyelesaian segera terhadap projek yang tertunda.

“Jika terdapat projek yang tertunda, kita perlu mencari sebabnya, mengenal pasti kelemahan dan berbincang cara memperbaikinya. Kita mesti mempunyai format pelaporan yang betul. Saya telah meminta semua agensi kerajaan membuat pembentangan berdasarkan format yang dipersetujui supaya memudahkan kita,” ujarnya.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Batu Danau Datuk Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok serta semua ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan di Bahagian Limbang.
Oleh Adeng Edrus