


KUCHING: Pelantikan Dato Ibrahim Baki sebagai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) bagi menjaga Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petros disifatkan sebagai satu langkah strategik bagi memastikan sektor tenaga di Sarawak terus berkembang, menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, keputusan pelantikan ini telah diteliti secara mendalam oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan mempunyai asas yang kukuh, mengambil kira pengalaman luas Dato Ibrahim dalam bidang perundangan serta industri minyak dan gas.
“Beliau bukan sahaja seorang peguam, tetapi juga pernah berkhidmat dengan Petronas dan menjadi ahli lembaga dalam syarikat tersebut.
“Ini memberi kelebihan kepada beliau dalam menguruskan sektor tenaga di Sarawak serta menjalinkan hubungan lebih erat antara Petros dan Petronas,” katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Bazar Ramadan Majlis Pembandaran Padawan (MPP) di Matang Jaya, hari ini.
Peranan Dato Ibrahim adalah penting dalam memperkukuh agenda tenaga boleh diperbaharui, terutamanya dalam usaha Sarawak membekalkan tenaga ke Semenanjung Malaysia, Singapura dan meneruskan pembangunan Borneo Power Grid.
Beliau juga berharap rundingan berkaitan tenaga antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat berjalan dengan baik, tanpa spekulasi yang boleh mengganggu proses perbincangan.
“Apa yang penting ialah kepentingan negara dan keseimbangan bagi Sarawak. Jika Sarawak mendapat manfaat, kerajaan persekutuan juga akan mendapat hasilnya melalui pembayaran cukai. Ini adalah jaminan yang diberikan di peringkat Sarawak,” katanya.
Tambahnya, pelantikan ini dilihat sebagai satu usaha memperkukuhkan industri tenaga di Sarawak dan memastikan sektor tersebut terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
-UKAS