Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pelantikan semula ke Dewan Negara: Suara Sarawak terus diperkasa di peringkat Persekutuan
  • SEMASA

Pelantikan semula ke Dewan Negara: Suara Sarawak terus diperkasa di peringkat Persekutuan

Utusan Sarawak 3 days ago
SENATOR Dato’ Ahmad Ibrahim hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah. Foto TVS

KUALA LUMPUR: Sarawak terus mengekalkan suara lantangnya di peringkat Persekutuan apabila Senator Dato’ Ahmad Ibrahim dilantik semula ke Dewan Negara bagi penggal kedua.

Pelantikan semula beliau merupakan satu pengiktirafan dan kepercayaan besar daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak, sekali gus menjamin kesinambungan wakil negeri dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak di Parlimen Malaysia.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Dato’ Ahmad menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta seluruh barisan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak atas sokongan dan pencalonan semula beliau.

“Saya anggap pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan peribadi, tetapi amanah besar untuk terus menyuarakan aspirasi wilayah Sarawak di Dewan Negara,” katanya.

Menurut beliau, pelantikan semula ini dibuat berlandaskan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Sarawak, berikutan tamatnya penggal pertama pada 22 Julai 2025.

Dato’ Ahmad menegaskan bahawa beliau akan terus memperjuangkan beberapa isu utama, termasuk mempertahankan hak dan keistimewaan Sarawak dalam konteks Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau turut menekankan kepentingan untuk meneguhkan kedudukan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) sebagai undang-undang sah negeri.

Selain itu, beliau menyokong Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai entiti strategik milik rakyat Sarawak dan komited memperjuangkan pembangunan seimbang antara wilayah agar tiada negeri yang tertinggal dalam arus kemajuan negara.

“Saya akan terus menjadi suara konsisten di Dewan Negara dalam memperjuangkan kedaulatan negeri, hak ekonomi rakyat luar bandar, dan perpaduan nasional yang berpaksikan pengiktirafan, bukan pemisahan,” tambahnya.

Menyentuh tentang penggal kedua, Dato’ Ahmad berikrar untuk membawa suara rakyat Sarawak dengan lebih tekad, semangat dan kesungguhan, demi membentuk masa depan Malaysia yang lebih inklusif dan adil.

“Kita bukan hanya mahu mempertahankan tempat Sarawak dalam Malaysia, tetapi mahu membentuk masa depan Malaysia dengan Sarawak sebagai tulang belakangnya,” tegasnya.

Pelantikan semula ini turut disambut baik oleh kepimpinan Dewan Negara, termasuk Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Timbalan Yang di-Pertua, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyambut kembalinya beliau secara rasmi hari ini.

“Sarawak Maju, Malaysia Makin Gagah!” menjadi penutup kenyataan media beliau, sebagai simbolik komitmen berterusan untuk membawa Sarawak ke persada nasional dengan suara yang kuat dan berprinsip.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: SMA alu-alukan penyertaan Anugerah Ekonomi Digital 2025
Next: Abang Johari lancar bekalan gas paip pertama ke Sungai Plan di Bintulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.