
PUTRAJAYA: Pelantikan tiga pegawai daripada Skim Penguasa Imigresen sebagai pengarah negeri akan menyuntik semangat baharu kepada seluruh warga Jabatan Imigresen untuk terus memberikan perkhidmatan yang berimpak tinggi.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) Ajeet Singh Gurbax Singh berkata tiga pegawai yang dilantik itu ialah Garry Belayong John Siki sebagai Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Mohd Razip Yasin Pengarah Imigresen Negeri Sembilan dan Mohd Redzuan Nawi sebagai Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan.

“KPISM ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar atas kepercayaan yang diberikan kepada pegawai daripada kumpulan pengurusan dan profesional untuk menerajui kepimpinan di peringkat negeri.
“Langkah ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kredibiliti, kompetensi dan kepakaran dalaman pegawai imigresen dalam menggalas tanggungjawab strategik jabatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis penyerahan surat pelantikan disempurnakan oleh Shamsul Azri di pejabatnya hari ini, disaksikan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Zakaria Shaaban, Presiden Persatuan Penguasa Imigresen Basri Othman serta Ajeet Singh.
KPISM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Zakaria serta pengurusan tertinggi jabatan atas usaha berterusan memperkasakan bakat dalaman sehingga membolehkan pengisian jawatan penting dalam kalangan pegawai imigresen.
-Bernama