KUCHING: Pelantikan Dato Sri Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Kerja Raya diharap mempercepatkan pembinaan rangkaian jalan raya dan perhubungan di negeri ini.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia adalah petanda yang baik kerana Nanta lebih memahami kehendak, keperluan dan kerumitan di Sarawak.
“Memandangkan kawasan pilihan raya beliau (Nanta) adalah di Kapit iaitu di kawasan luar bandar, maka beliau akan lebih memahami keadaan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Sarawak Road Trip di Tebingan Sungai Kuching, di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memperlihatkan kesinambungan dalam projek yang diusahakan sebelum ini dalam meningkatkan infrastruktur jalan raya di Sarawak.
Katanya, Sarawak bertuah kerana Timbalan Perdana Menteri II, Dato Sri Fadillah Yusof sebelum ini adalah Menteri Kanan Kerja Raya.
“Saya percaya pelantikan Dato Sri Alexander sebagai Menteri Kerja raya akan mempercepat pembinaan jalan raya perhubungan di negeri ini khususnya Lebuh Raya Pan Borneo,”katanya.
Beliau berharap Nanta akan meneruskan usaha yang dilaksanakan oleh Fadillah dalam menambah baik rangkaian lebuh raya dan jalan raya di kawasan luar bandar dan bandar Sarawak.
“Saya percaya Perdana Menteri telah mempertimbangkan sebaik-baiknya sebelum melantik Dato Sri Alexander untuk menjaga kementerian tersebut.
“Selain itu, beliau (Anwar) juga tahu kita akan meraikan sambutan kemerdekaan yang ke-60 dan Sarawak memerlukan anjakan pembangunan tersebut,” katanya.
Mengenai pelantikan Dato Sri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan, Abdul Karim berkata ia akan memudahkan perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
“Saya amat gembira dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Pelancongan dan memiliki anak Sarawak untuk menjaga pelancongan Malaysia semestinya akan memudahkan kita untuk ‘bercakap’ dengannya,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA