Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pelantikan mufti baharu tegaskan kepimpinan institusi Fatwa Sarawak
  • TEMPATAN

Pelantikan mufti baharu tegaskan kepimpinan institusi Fatwa Sarawak

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Dr Abdul Rahman Junaidi menyaksikan simbolik penyerahan tugas oleh Datuk Kipli Yassin(kiri) kepada Datuk Khalidi Ibrahim(kanan) pada Majlis Penyerahan Tugas Mufti Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Pelantikan Mufti Sarawak yang baharu disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan kepimpinan institusi fatwa negeri terus diperkasa selaras dengan perkembangan semasa dan keperluan masyarakat Islam di Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, mufti berperanan sebagai rujukan utama ummah, penunjuk arah kefahaman agama serta suara hikmah dalam menyeimbangkan tuntutan syariah dengan realiti kehidupan yang sentiasa berubah.

Menurut beliau, tanggungjawab tersebut bukan sekadar mengeluarkan fatwa, sebaliknya menuntut kebijaksanaan, ketegasan berpaksikan ilmu serta kemampuan memimpin masyarakat dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks.

“Amanah ini merupakan satu tanggungjawab besar yang menuntut kebijaksanaan dan ketegasan berpaksikan ilmu serta keupayaan memimpin masyarakat dalam suasana yang sentiasa berubah.

“Semoga penyerahan dan penerimaan tugas ini menjadi simbol kesinambungan kepimpinan ilmu yang sentiasa dipandu oleh hikmah, kesatuan dan tanggungjawab terhadap agama, negeri dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Tugas Mufti Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

DATUK Dr Abdul Rahman Junaidi berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Tugas Mufti Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di Kuching hari ini.

Pada majlis tersebut, Datuk Khalidi Ibrahim secara rasmi dilantik sebagai Mufti Sarawak berkuat kuasa 1 Mac 2026, sekali gus meneruskan kepimpinan bekas mufti, Datuk Kipli Yassin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 28 Februari 2026.

Khalidi, 58, mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan bersama kerajaan Sarawak sejak 9 Julai 1994 dan dilihat berkelayakan untuk menerajui institusi fatwa negeri.

Selepas bersara wajib pada 2024, beliau dilantik secara kontrak sebagai Pakar Rujuk Syariah di Jabatan Mufti Sarawak bermula 1 Julai 2024 hingga 28 Februari 2026.

Sebelum itu, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dari 2016 hingga 2017 sebelum dilantik sebagai Pengarah JAIS bagi tempoh 2018 hingga 2024.

Sepanjang perkhidmatan, beliau menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu pada 2023, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (Emas) pada 2019, Pegawai Bintang Kenyalang (2017), Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (2009) serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (1998, 2003, 2008 dan 2016).

Sementara itu, Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam satu kenyataan memaklumkan majlis tersebut melambangkan kesinambungan peranan penting Mufti dalam memimpin hal ehwal kefatwaan serta membimbing masyarakat Islam di negeri ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta tetamu kehormat lain.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Umat Islam Sarawak patuh kewajipan berpuasa, tiada penangkapan direkodkan setakat ini
Next: Mufti baharu tekad galas amanah dengan jujur dan penuh hikmah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.