
SONG: Seramai 50 orang Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di daerah Song menerima sijil pelantikan baharu dan pelantikan semula dalam satu majlis yang berlangsung di Pejabat Daerah Song, malam tadi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata daripada jumlah itu, 34 merupakan lantikan semula tuai rumah, manakala 10 individu merupakan lantikan baharu.
Selain itu, satu jawatan Pemanca dan satu jawatan Penghulu turut dilanjutkan tempoh pelantikan mereka.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua KMKK yang dilantik semula serta terima kasih kepada mereka yang telah menamatkan tempoh perkhidmatan atas khidmat bakti mereka sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berharap KMKK yang dilantik akan terus bekerjasama dalam memajukan kawasan serta rumah panjang masing-masing secara ‘segulai sejalai’ bersama wakil rakyat, penjawat awam, jabatan dan agensi kerajaan.
Dalam masa sama, Nanta turut mengingatkan KMKK agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, berintegriti serta berpengetahuan dalam usaha menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Setiap KMKK merupakan penghubung penting bagi memastikan segala perancangan dan bantuan daripada kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat,” tegasnya.
Pada majlis berkenaan, Nanta dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan turut mengumumkan peruntukan masing-masing sebanyak RM30,000 untuk Persatuan KMKK Daerah Song.
Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Ambrose Abong Bugek, dan Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin.
Oleh Tarani Lanting