
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan hendaklah mematuhi sepenuhnya setiap peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Baginda bertitah, perkara tersebut merupakan antara yang ditekankan semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 semalam, yang turut membincangkan rundingan berkenaan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, serta hakim-hakim mahkamah atasan lain.
Dalam hal ini, baginda menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara pada 10 Julai lepas, berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan-jawatan penting lain dalam badan kehakiman, setelah menerima nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta menjunjung prinsip keadilan yang menjadi teras utama pemerintahan negara.
“Sehubungan dengan itu, semua pihak diseru agar mengelakkan diri daripada membuat sebarang spekulasi atau tuduhan negatif tanpa fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Baginda turut menzahirkan kesyukuran kerana mesyuarat tersebut telah berlangsung dengan baik dan lancar.– Bernama