SIBU: Pelangi Foodkiosk Kampung Nangka yang terletak di Jalan Kampung Nangka di sini bakal menjadi daya tarikan baharu di bandar Sibu.
Berkonsepkan kiosk yang berwarna-warni, moden serta mesra pengguna, menjadikan kawasan ini tumpuan orang ramai termasuk pengunjung dari luar kawasan Sibu.
Terdapat 17 kiosk berwarna-warni yang menyajikan variasi makanan dan minuman lazat tempatan. Antaranya ialah Ayam Percik Dara, bubur pedas, burger, nasi lemak, cendol pulut, coklat menoes, nasi kerabu, dan banyak lagi.
Walaupun baru beroperasi semula kira-kira sebulan yang lalu setelah kerja-kerja menaik taraf siap dijalankan, Pelangi Foodkisok ini menjadi tarikan pelbagai lapisan masyarakat yang datang berkunjung khususnya buat para pengemar makanan.
Pelangi Foodkiosk Kampung Nangka ini merupakan inisiatif wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dr Annuar Rapa’ee yang menelan belanja lebih RM242,000.
Dr Annuar yang juga merupakan Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, projek tersebut bertujuan untuk mewujudkan kawasan penjaja terbaik di Sarawak dengan kemudahan kiosk termoden dan mesra pengguna sekali gus menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong baharu di Sibu.
“Oleh itu, adalah penting untuk para peniaga mengekalkan kecantikan serta menjaga kebersihan kawasan serta makanan mereka agar para pengunjung terutama pelanggan dari dalam dan luar Sibu terus berkunjung ke kawasan ini.
“Tahniah kepada jawatankuasa usahawan DUN Nangka dan jawatankuasa penjaja kiosk pelangi di sini kerana kembali beroperasi semula dengan wajah baru yang lebih menarik,” katanya apabila ditemui pemberita pada majlis perasmian pembukaan kiosk berkenaan, baru-baru ini.
Dr Annuar memberitahu, sebelum ini para penjaja hanya menggunakan khemah atau gerai-gerai sementara yang kurang selesa dan apabila hujan, aktiviti perniagaan mereka terganggu.
“Jadi dengan adanya kiosk kekal dengan reka bentuk moden ini, para peniaga dapat menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih selesa dan membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Setiap kiosk juga dibekalkan dengan elektrik dan air sekali gus memudahkan para penjaja menjalankan aktiviti perniagaan mereka sama ada pada waktu siang atau malam.
“Saya yakin penampilan baru (kiosk) ini akan membantu meningkatkan ekonomi para penjaja di kawasan ini,” jelasnya.
Sementara itu, menurut salah seorang pengunjung, Malik Adam,50, sejak beroperasi, beliau sering berkunjung ke Pelangi Foodkisok Kampung Nangka ini untuk membeli pelbagai juadah yang ada.
“Terdapat pelbagai pilihan menu yang terdapat di sini. Bermula dari pelbagai hidangan lauk, kuih-muih, aneka minuman dan sebagainya.
“Hanya di Pelangi Foodkiosk ini kita boleh menikmati pelbagai hidangan tanpa perlu ke tempat lain,” ujarnya.
Selain itu, katanya, kedudukan Pelangi Foodkiosk ini juga sangat strategik di mana ia terletak di laluan utama masyarakat di sekitar Sibu untuk pergi dan balik kerja.
“Oleh itu, saya menyambut baik langkah kerajaan dalam menaik taraf kawasan penjaja Pelangi Foodkiosk ini kerana ia bukan sahaja membantu para penjaja, malah memudahkan urusan jual beli di sini.
“Oleh itu, orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke Pelangi Foodkiosk ini bagi melihat sendiri kemeriahan yang ada di sini,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad