Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pelancongan: Sarawak optimis capai rekod lima juta pelawat tahun ini
  • TEMPATAN

Pelancongan: Sarawak optimis capai rekod lima juta pelawat tahun ini

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Sri Abdul Karim pada sidang media D’drift Flag Off di Pejabat Dayak Daily, hari ini.

KUCHING: Sarawak dijangka melepasi sasaran lima juta ketibaan pelawat tahun ini selepas hampir mencapai angka tersebut pada 31 Disember 2025.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata setakat penghujung tahun lalu negeri ini merekodkan sekitar 4.981 juta ketibaan, hanya kekurangan sekitar 28,000 pelawat untuk mencapai sasaran lima juta.

Menurutnya, sasaran tersebut kekal realistik dan wajar dikekalkan sehingga benar-benar ditembusi sebelum dinaikkan ke angka lebih tinggi.

“Kita hampir capai lima juta tahun lalu. Saya yakin tahun ini kita akan lepasi angka itu, apatah lagi dengan Tahun Melawat Malaysia dan pelbagai acara yang dianjurkan,” katanya pada satu program di Pejabat Dayak Daily, di sini, hari ini.

Beliau berkata industri perhotelan turut menunjukkan perkembangan positif dengan kadar penghunian tinggi, khususnya ketika acara besar dan musim perayaan. Malah, terdapat pengunjung luar Sarawak yang telah membuat tempahan hotel lebih awal bagi sambutan ambang tahun baharu akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah hotel baharu di Gala City dengan lebih 200 bilik dijangka beroperasi awal tahun hadapan, sekali gus menambah kapasiti penginapan di bandar raya ini.

Abdul Karim menegaskan momentum pertumbuhan pelancongan perlu diperkukuh melalui promosi berterusan serta penganjuran acara berkualiti bagi memastikan limpahan manfaat kepada pemain industri dan ekonomi setempat.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata kawasan Asajaya dan Samarahan dijangka menyaksikan lonjakan pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang susulan pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar.

Menurutnya, projek seperti sistem Transit Aliran Autonomi (ART) ke Gedong, lapangan terbang baharu, pelabuhan baharu serta lebuh raya bertingkat bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi wilayah berkenaan.

Beliau yang telah lama mewakili kawasan itu berkata perubahan nilai tanah di Asajaya amat ketara sejak 1970-an.

“Dulu satu ekar tanah sekitar RM300 hingga RM500. Kini ada yang mencecah lebih RM100,000 seekar,” katanya pada sidang media program D’drift Flag Off di pejabat sama.

Tambahnya, pampasan pengambilan tanah kerajaan turut melahirkan ramai jutawan baharu di kawasan tersebut, namun penduduk diingatkan supaya mengurus kewangan secara bijak agar tidak berdepan masalah pada masa depan.

Katanya, keutamaan beliau di kawasan itu ialah pendidikan dengan sebahagian besar peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian.

“Saya bangga apabila ratusan pelajar dari kawasan ini dapat melanjutkan pengajian ke universiti awam setiap tahun,” ujarnya.

Beliau berharap penduduk setempat bergerak seiring arus pembangunan dan tidak hanya melihat keuntungan jangka pendek hasil penjualan tanah.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Abdul Karim: Tolak pertambahan kerusi DUN Sarawak ibarat tidak hormati kehendak rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.