LUNDU: Pelancongan bakal menjadi peluang kerjaya baharu bagi penduduk Tanjong Datu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.
Menurut beliau, industri pelancongan akan menjadi platform untuk para belia lepasan sekolah yang tidak menyambung persekolahan, wanita-wanita dan ibu-ibu tunggal untuk menceburi bidang Keusahawanan.
“Kawasan Lundu dan Sematan sememangnya terkenal dengan tempat-tempat yang menarik pelancong untuk datang berkunjung seperti taman-taman negara, pantai-pantai serta pulau-pulau yang menarik.
“Oleh itu, komuniti di sini harus mengambil peluang untuk menceburi bidang pelancongan agar sektor pelancongan semakin berkembang dan ini memberi peluang kepada generasi baharu untuk mencuba sesuatu yang baru selari dengan perkembangan ekonomi terkini,” katanya.
Jamilah berkata demikian ketika merasmikan Program Tourism Awareness Daerah Lundu di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu semalam.
Jamilah memetik contoh seperti program Inap Desa (Homestay), pengusaha pengangkutan seperti teksi, van atau bot bakal merangsang ekonomi rakyat setempat.
Malahan, beliau berkata, sektor pembuatan seperti keropok dan kuih tradisional serta pengusaha makanan dan kraf tangan atau sebagai pemandu Pelancong juga akan mendapat permintaan seperti ‘goreng pisang panas’.
Terdahulu, Jamilah turut menyertai program yang bermula dengan pendaftaran pada 9.00 pagi di teruskan dengan ceramah pertama bertajuk, Penyertaan Komuniti Dalam Industri Pelancongan oleh Dr. Shazali Johari, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC).
Diikuti dengan ceramah Garis Panduan Program Inap Desa (Homestay) Kebangsaan oleh Rosseter Chong dari Pejabat Kementerian Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak (MOTAC).
Ceramah, Pembangunan Kraf tangan Sarawak oleh Diweng Bakir dan Ceramah Pemandu Pelancong Sebagai Karier oleh Azhar Nor Mostapha serta ceramah Kesenian dan Kebudayaan oleh Sarkawi Amit.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani. Ketua Pergerakan Pemuda PBB Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Hj Adenan.