KUCHING: Hubungan bandar persahabatan antara Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Zhengzhou, wilayah Henan, China bakal diperkukuh menerusi kerjasama pelancongan budaya yang dilihat sebagai jambatan utama bagi meningkatkan pertukaran rakyat serta membuka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, hubungan yang terjalin antara kedua-dua bandar sejak hampir dua tahun lalu perlu diterjemahkan kepada tindakan sebenar yang memberi manfaat kepada masyarakat, bukan sekadar kekal sebagai perjanjian di atas kertas.
“Kita tidak menandatangani perjanjian bandar persahabatan hanya untuk kekal sebagai dokumen. Kita mahu melihat tindakan sebenar supaya hubungan ini semakin mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi dari Zhengzhou, Henan, Republik Rakyat China di Ibu Pejabat MBKS petang tadi.
Menurut Wee, pihaknya menyambut baik cadangan menjadikan pelancongan sebagai bidang utama dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua bandar persahabatan, khususnya melalui pertukaran budaya dan rakyat.
Beliau berkata, hubungan MBKS dan Zhengzhou menunjukkan perkembangan positif sejak dimeterai, malah beliau sendiri telah beberapa kali mengunjungi Zhengzhou bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Zhengzhou, Wei Wei berkata, hasil kajian awal yang dijalankan pihaknya mendapati pelancongan budaya merupakan antara bidang paling sesuai untuk diterokai bersama oleh kedua-dua bandar.
Katanya, pertukaran pelancongan antara Zhengzhou dan Kuching Selatan mampu menjadi pemangkin kepada hubungan lebih rapat kerana pergerakan rakyat akan mewujudkan lebih banyak ruang untuk pertukaran budaya, pemahaman bersama serta peluang perniagaan.
“Dengan menjadikan pelancongan budaya sebagai jambatan, kita dapat mengukuhkan hubungan antara kedua-dua tempat dan menggalakkan lebih banyak pertukaran,” katanya.
Selain pelancongan, Wei Wei berkata sektor penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan warga emas turut mempunyai potensi besar untuk diterokai bersama, mengambil kira keperluan masyarakat yang semakin berubah.
Katanya, Kuching Selatan mempunyai kelebihan dari segi keselesaan, persekitaran serta kualiti hidup yang sesuai untuk pembangunan sektor penjagaan warga emas dan kesejahteraan.
Beliau berkata perkembangan tersebut membuka peluang untuk meneroka lebih banyak kerjasama dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan bersama rakan strategik antarabangsa.
Oleh Adele Rissa




