
KARNATAKA: Seorang pelancong wanita Israel dan seorang wanita India dirogol secara beramai-ramai oleh tiga lelaki baru-baru ini berhampiran sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang popular di selatan India manakala seorang lelaki turut maut dalam kejadian itu.
Menurut Ketua Polis Daerah, Ram Arasiddi, jenayah itu berlaku ketika seorang lelaki India dan dua wanita berkenaan sedang melihat bintang bersama dua pelancong lelaki lain di bandar Hampi.
“Pelancong Israel berusia 27 tahun dan pemilik inap desa berumur 29 tahun melaporkan mereka diperkosa beramai-ramai oleh tiga lelaki di Karnataka pada malam Khamis dan dua suspek telah ditangkap.
“Serangan berlaku ketika mangsa sedang memerhati bintang di tebing Terusan Tungabhadra Left Bank di Koppal, kira-kira 350 kilometer (km) dari hab teknologi Bengaluru, bersama tiga pengembara lain.
“Suspek menolak tiga pengembara itu ke dalam terusan sebelum menyerang wanita berkenaan. Daniel, warga Amerika Syarikat (AS), dan Pankaj dari Maharashtra berjaya berenang ke darat, manakala Bibash dari Odisha lemas,” katanya.
Katanya lagi, suspek pada mulanya bertanya di mana boleh mendapatkan petrol sebelum meminta wang daripada pengembara tersebut.
“Apabila permintaan itu ditolak, mereka menyerang mangsa, menolak lelaki ke dalam terusan, dan memperkosa wanita berkenaan,” menurut laporan aduan.
Suspek selepas itu melarikan diri dengan motosikal selepas melakukan jenayah berkenaan.
Ketua Menteri, Siddaramaiah, menegaskan kerajaan pimpinannya komited memberikan perlindungan kepada semua termasuk pelancong yang datang ke negeri itu.
“Sebaik sahaja kejadian itu dilaporkan, saya mendapatkan maklumat daripada pihak polis berkaitan, menjalankan siasatan menyeluruh, dan mengarahkan mereka untuk segera mengenal pasti pelaku,” katanya dalam satu hantaran di X.
“Kerajaan kami komited untuk memberikan perlindungan kepada semua, termasuk pelancong yang datang ke negeri ini. Segala langkah yang diperlukan akan diambil bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden Parti Barathiya Janata (BJP) Karnataka, BY Vijayendra, mengkritik parti pemerintah Kongres dan mendakwa meskipun jenayah terhadap wanita semakin meningkat di seluruh negeri, kerajaan masih tidak peduli terhadap penderitaan rakyatnya.
Serangan terhadap wanita di India mendapat perhatian antarabangsa tahun lalu selepas kes rogol dan bunuh seorang doktor pelatih di sebuah hospital di Kolkata.-AFP