
PORT LOUIS: Seorang pelancong Jerman berusia 20 tahun maut selepas jatuh dari ketinggian 125 meter ketika mendaki Gunung Le Morne Brabant di barat daya pulau Lautan Hindi, Mauritius, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pihak berkuasa tempatan pada Selasa memaklumkan, mangsa sedang mendaki bersama dua rakannya pada Isnin apabila, atas sebab yang masih belum jelas, kemalangan itu berlaku.
Pasukan penyelamat mengambil masa beberapa jam untuk sampai ke lokasi mangsa akibat keadaan muka bumi yang sukar. Mangsa tidak mempunyai denyutan nadi ketika petugas kecemasan tiba dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Polis telah melancarkan siasatan berhubung insiden itu.
Gunung Le Morne Brabant telah menjadi lokasi beberapa kemalangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Secara sejarah, dipercayai hamba abdi pernah terjun dari gunung itu untuk melarikan diri daripada tentera British.– BERNAMA-dpa