BEIJING, China: Pelancaran roket China yang membawa satelit komunikasi gagal, lapor media kerajaan, yang mengaitkan kegagalan itu dengan “anomali penerbangan”, manakala laporan dan rakaman video menunjukkan roket berkenaan dipercayai meletup di udara.
Beijing telah membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk program angkasanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini bagi merealisasikan apa yang disebut Presiden Xi Jinping sebagai “impian angkasa lepas” negara itu.
Kegagalan pelancaran yang jarang berlaku itu membabitkan roket pengangkut Long March 7A yang dilancarkan dari Tapak Pelancaran Angkasa Lepas Wenchang di wilayah Hainan, China, pada 8.02 malam (waktu Malaysia), lapor agensi berita rasmi Xinhua.
Satu “anomali” berlaku ketika roket yang membawa satelit komunikasi Zhongxing-4B itu dalam penerbangan, menurut Xinhua.
Punca kegagalan itu sedang disiasat, lapornya.
Penyiar yang berpangkalan di Singapura, Channel NewsAsia, dalam hantaran di Instagram berkata roket itu meletup dan memuat naik rakaman orang ramai yang menyaksikan bebola api di langit.
Satu video yang dimuat naik beberapa jam selepas pelancaran oleh akaun media sosial yang berlokasi di Hainan menunjukkan roket itu meletup dan terbakar kira-kira 85 saat selepas dilancarkan, meninggalkan kepulan asap kelabu ketika serpihan jatuh ke tanah.
Agensi angkasa lepas China berkata negara itu berjaya mendaratkan roket boleh guna semula buat kali pertama pada Julai, yang menandakan langkah penting dalam usaha angkasanya serta mengurangkan kos pelancaran.
China menyasarkan untuk menghantar angkasawan ke Bulan sebelum 2030, dalam persaingan dengan Amerika Syarikat yang turut meneruskan program Artemis.
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, ketika mengulas hantaran mengenai kegagalan pelancaran di platform X, berkata bahawa “roket amat sukar untuk dibangunkan dan dilancarkan.”
“Saya berharap mereka dapat pulih dengan segera,” katanya.
Satu serpihan roket SpaceX seberat empat tan dipercayai terhempas secara tidak sengaja ke Bulan, dalam perlanggaran yang dijangka meninggalkan kawah di permukaan Bulan.
Pelancaran pertama roket Long March 7A dari tapak Wenchang pada 2020 turut gagal selepas “berlaku kerosakan”, lapor Xinhua pada Mac tahun berkenaan. – AFP





