Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pelancaran MySRBN XL perluas akses internet berkelajuan tinggi ke Belaga
  • Utara
  • WILAYAH

Pelancaran MySRBN XL perluas akses internet berkelajuan tinggi ke Belaga

Utusan Sarawak 23 hours ago
DATO Sri Julaihi Narawai dan Datuk Liwan Lagang melawat reruai pempamer semasa pelancaran MySRBN XL di Dewan Masyarakat Belaga.

BELAGA: Kerajaan Sarawak terus komited merapatkan jurang digital di luar bandar menerusi pelancaran perkhidmatan MySRBN XL di sini hari ini, yang menawarkan capaian internet berkelajuan tinggi sehingga 100Mbps.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, yang menegaskan bahawa cabaran geografi bukan penghalang untuk memperluas infrastruktur digital hingga ke kawasan pedalaman.

“Cabaran seperti bentuk muka bumi berbukit dan jarak jauh bukanlah halangan, malah menjadi pemangkin untuk mencari penyelesaian kreatif agar rakyat di pedalaman tidak terus tercicir dalam arus pembangunan digital,” katanya ketika berucap di Dewan Masyarakat Belaga.

Menurut beliau, MySRBN XL merupakan kesinambungan kepada kejayaan program MySRBN yang dilancarkan pada 2021, kini dipertingkat sebagai pakej berasaskan gentian optik, dengan konsep prabayar tanpa kontrak panjang pada kadar RM79 sebulan.

DATO Sri Julaihi Narawai dan Datuk Liwan Lagang melawat reruai pempamer semasa pelancaran MySRBN XL di Dewan Masyarakat Belaga.

Pelanggan baharu yang mendaftar sebelum 31 Disember 2025 akan menikmati kadar promosi RM69 sebulan bagi tempoh enam bulan pertama.

Sehingga 6 Oktober 2025, sebanyak 35,700 premis pelanggan (CPE) telah dipasang di seluruh Sarawak, termasuk 225 di Belaga, manakala 573 tapak pemancar SMART kini beroperasi, menyediakan liputan aktif kepada komuniti luar bandar.

Dato Sri Julaihi menegaskan bahawa pelaksanaan MySRBN XL membuktikan iltizam kerajaan negeri dalam menyediakan internet pantas, stabil dan berpatutan, selari dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030.

“Internet kini menjadi keperluan asas setara dengan kemudahan seperti elektrik, air bersih dan jalan raya.

“MySRBN XL adalah bukti jelas bahawa kerajaan bukan sekadar bercakap mengenai transformasi digital, tetapi benar-benar melaksanakannya,” tegas beliau.

Beliau turut menggesa penduduk Belaga agar memanfaatkan kemudahan ini untuk memperluas ilmu pengetahuan, memperkasa perniagaan, serta mengelakkan perbuatan vandalisme terhadap infrastruktur telekomunikasi, yang dibina demi kepentingan bersama.

Oleh Carolyne Utih

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Jalan Tun Ahmad Zaidi ditutup sehingga 31 Oktober, guna laluan alternatif
Next: MySRBN XL perkukuh jambatan digital di luar bandar Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.