


MENTERI Digital Gobind Singh Deo (kiri) melawat reruai pameran selepas merasmikan program Pertandingan AI Kebangsaan 2025 di Sunway University di sini hari ini. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) 2026 hingga 2030 yang dilancarkan tahun ini akan memperkuatkan garis panduan penggunaan AI di Malaysia.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata langkah itu adalah kesinambungan daripada pelaksanaan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI Negara (AIGE) pada tahun lepas, yang diwujudkan bagi membendung penyalahgunaan teknologi AI.
“Memang ini (etika penggunaan AI) perkara yang penting, (garis panduan) sudah dilaksanakan dan diperkuatkan lagi dengan pelan tindakan yang akan kita lancarkan tahun ini,” katanya selepas menghadiri program Pertandingan AI Kebangsaan 2025 di Sunway University di sini hari ini.
Pelan Tindakan Teknologi AI 2026 hingga 2030 ialah kesinambungan Pelan Hala Tuju AI 2021 hingga 2025, yang akan memainkan peranan penting memacu kerjasama dalam kalangan kerajaan, industri, ahli akademik dan komuniti untuk merangsang perkongsian pengetahuan, meningkatkan penggunaan AI dalam sektor utama dan membangunkan modal insan yang mampan dalam ekosistem AI negara.
Selain itu, Gobind berkata kerajaan sedang melihat inisiatif bagi memperkukuhkan tatakelola AI untuk menjamin keselamatan penggunaan teknologi berkenaan.
“Kami juga sedang melihat tadbir urus AI. Semoga pada pertengahan tahun depan, kami akan dapat melancarkan sesuatu yang dapat melihat bagaimana ia boleh memastikan ada keselamatan yang boleh kami lihat dalam AI,” katanya.

Gobind berkata pengukuhan garis panduan dan tatakelola AI penting kerana teknologi itu berkembang dengan sangat pantas dan menjadi semakin penting.
“Saya melihat kepada perkara ini dari sudut positif. Teknologi itu adalah sesuatu yang akan datang, rakyat akan memakai aplikasi itu dan kita perlu bersedia.
“Namun, tentu sahaja apabila kita bergerak ke hadapan pasti akan ada cabaran. Contohnya, ada risiko dan sebagainya… ini adalah aspek yang perlu kita lihat,” katanya.
Gobind berkata teknologi yang semakin berkembang itu berpotensi membuka ruang baharu untuk bidang pekerjaan serta usaha individu.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berani menceburi bidang teknologi baharu seiring tumpuan kerajaan yang memberi fokus khusus kepada usaha membangunkan negara digital secara menyeluruh.
“Untuk tujuan itu, kita lihat kepada aspek infrastruktur, keselamatan dan juga bakat yang diperlukan, sampai masa nanti kita perlu memastikan negara kita sedia untuk AI,” katanya. – Bernama