Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Pelan strategik utama RMK13 rangsang industri pertumbuhan tinggi nilai tinggi – PM Anwar
  • NASIONAL

Pelan strategik utama RMK13 rangsang industri pertumbuhan tinggi nilai tinggi – PM Anwar

Utusan Sarawak 1 day ago
Foto hiasan AI aeroangkasa

KUALA LUMPUR:  Kerajaan akan menggiatkan pelaksanaan pelan strategik utama dalam kerangka Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk merangsang pertumbuhan industri pertumbuhan tinggi nilai tinggi dan sektor strategik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelan itu meliputi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Beliau berkata buat kali pertama, Malaysia mewujudkan sistem pasaran tenaga elektrik yang lebih inovatif berdasarkan kos sebenar perolehan penjanaan tenaga termasuk tenaga boleh baharu (TBB).

Inisiatif itu akan membuka peluang kepada lebih ramai peserta industri untuk terlibat dan bersaing dengan lebih sihat dan telus, katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan turut mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber tenaga bersih yang berdaya saing dan selamat.

Momentum kedudukan Malaysia sebagai pengeksport keenam terbesar semikonduktor dunia akan  dioptimumkan melalui pelaksanaan projek utama industri semikonduktor berteknologi tinggi nilai tinggi dengan sasaran nilai eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) menghampiri RM1 trilion menjelang 2030, kata beliau.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pada 2024 Malaysia menyumbang lebih RM600 bilion kepada eksport produk E&E.

“NSS memberi tumpuan kepada pembangunan reka bentuk litar bersepadu, peralatan pembuatan semikonduktor, pembungkusan termaju dan proses hadapan (front-end),” kata beliau.

Beliau berkata sinergi syarikat tempatan dengan syarikat semikonduktor global seperti Amazon Web Services, Google dan Infineon Technologies di sepanjang rantaian nilai juga akan terus diperkukuh bagi mempercepat peralihan industri kepada pengeluaran produk semikonduktor yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.

Perdana Menteri berkata kerajaan menyasarkan peningkatan campuran kapasiti terpasang negara kepada 35.0 peratus menjelang 2030 daripada 29 peratus. 

Beliau berkata peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB) akan membuka peluang pelaburan dan pertumbuhan yang lebih luas kepada pemain industri tenaga. 

Rakyat boleh menjana TBB di bawah bawah konsep akses grid terbuka melalui program “Community Renewable Energy Aggregation Mechanism” (CREAM), kata beliau.

Beliau berkata inisiatif Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara serta Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat akan mempercepat pelaburan dalam tenaga hijau dan penglibatan sektor swasta akan memperkukuh keseluruhan rantaian nilai tenaga mampan negara. 

“Seiring dengan NETR, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), grid pintar dan projek sambung tara bekalan elektrik dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia pula akan membolehkan integrasi tenaga boleh baharu antara wilayah secara lebih efisien,” kata beliau.

Anwar berkata inisiatif solar terapung hibrid hidro dan hab hidrogen hijau di Kenyir akan diperluas sebagai model tenaga hijau bersepadu. 

Pada masa yang sama, kerajaan akan memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga sedia ada melalui pembinaan Kompleks Terminal Penggasan Semula Ketiga di Lumut, Perak (LuMIC), kata beliau.

Kerajaan juga komited mempercepat pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) dengan kerjasama kerajaan negeri bagi memantapkan ekosistem dan mempergiat aktiviti sepanjang rantaian nilai. 

“Sumber REE akan diutamakan untuk kegunaan domestik bagi membina industri pertengahan dan hiliran. Usaha ini disokong oleh pembangunan bakat, infrastruktur moden, insentif menyeluruh serta pemetaan sumber yang lebih tepat.,” kata beliau.

Perdagangan karbon akan dimudah cara, antaranya melalui pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan, Skim Perdagangan Pelepasan (ETS) serta penyediaan insentif bagi projek kredit karbon. 

Selain itu, aktiviti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon akan dipergiat dengan menjadikannya sebahagian daripada taksonomi pelaburan dan pembiayaan hijau. 

“Sebuah projek rintis pemerangkapan karbon dalam industri besi dan keluli akan dilaksanakan di Kemaman, Terengganu,” kata beliau.

Beliau berkata selain itu, Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia akan dilaksanakan dengan menggariskan pembangunan infrastruktur dan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF).– Bernama

Continue Reading

Previous: Pegawai perubatan wajib pilih penempatan Sabah, Sarawak bagi seimbangkan agihan tenaga kesihatan – KKM
Next: Kerajaan MADANI perkukuh dasar negara menerusi kerangka ekonomi MADANI – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.