Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Pelan penafian minyak Miri
  • KOLUMNIS

Pelan penafian minyak Miri

Utusan Sarawak 12 hours ago

BERDASARKAN Perjanjian Naungan yang ditandatangani oleh Sarawak dengan British pada 1888, British mempunyai tanggungjawab mempertahankan Sarawak daripada serangan pihak asing. 

Namun demikian apabila Jepun menyerang Sarawak, British tidak mempunyai pelan yang kukuh mempertahankan Sarawak daripada serangan Jepun. 

Hal ini berbeza dengan dasar British ke atas Tanah Melayu. Usaha mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan Jepun ini dizahirkan dengan penghantaran dua kapal perang British iaitu HMS Princes of Wales dan Repulse ke Singapura. 

Bagaimanapun kedua-dua kapal ini telah ditengelamkan oleh tentera Jepun pada 9 Disember 1941.

Perancangan

Di Sarawak dan Sabah termasuk Brunei usaha mempertahankan ketiga-tiga wilayah ini lebih kepada menyekat kemaraan Jepun. Oleh itu, tiada usaha yang teguh untuk mempertahankan wilayah-wilayah tersebut.

Namun demikian perancangan untuk menangani kemaraan tentera Jepun telah dirancang lebih awal lagi. Oleh itu apabila tanda-tanda perang mungkin meletus di Asia Tenggara, dan berlakunya ancaman ke atas kepentingan British, usaha digerakkan untuk melumpuhkan kemaraan tentera Jepun.

PADA 23 Disember 1941, satu arahan dikeluarkan untuk berjaga-jaga akan serangan Jepun kerana tentera darat Jepun telah berjaya mendarat di Kuching.

Satu cadangan telah dikemukakan dan diajukan kepada kabinet British di London untuk memusnahkan kelengkapan dan kemudahan pengalian telaga minyak di Miri dan Seria. Rancangan ini dikenali sebagai Miri Oilfield Denial Scheme.

Setelah melakukan perbincangan dalam kabinet British, maka pada Jun 1938 perancangan tersebut telah diterima. Perancangan ini bertujuan untuk mengelakkan tentera Jepun merampas dan menggunakan telaga minyak tersebut untuk tujuan ketenteraan. 

Butiran

Perkara-perkara disentuh dalam menafikan penguasaan dan penggunaan telaga minyak ini adalah mencabut dan memindahkan beberapa bahagian utama mesin pengepam di telaga minyak tersebut.

Kedua memasukkan halangan tersembunyi pada paip saluran minyak. Ketiga pula mencampurkan stok minyak yang sedia ada untuk mengelak digunakan.

Pada masa sama pula, mereka juga membuat perancangan kecemasan jika tentera Jepun menyerang Sarawak secara tiba-tiba. Perancangan mereka ini dilakukan jika pelan awal tadi belum sempat dilaksanakan.

Pelan kecemasan ini melibatkan taktik bumi hangus dengan memusnahkan paip dasar laut. Bahan letupan akan dipasang di kawasan dikenal pasti boleh memusnahkan kemudahan di telaga minyak tersebut.  

Pemberitahuan

Bagi mengerakkan operasi ini, pihak kerajaan British telah berhubung dengan syarikat carigali minyak Sarawak. A. H. Poynton dari Pejabat Koloni memaklumkan rancangan skim tersebut termasuk bagaimana ia dilaksanakan. 

F. Godber merupakan wakil daripada syarikat minyak tersebut mencadangkan agar dilakukan kemusnahan ke atas jentera dan mesin yang ada. 

Cadangan beliau ini berbeza dengan skim awal untuk menanggal atau membuang peralatan jentera dan mesin di syarikat minyak tersebut. Peralatan yang ditanggalkan ini akan disembunyikan oleh pihak kerajaan. 

Usaha ini menurut Poynton lebih baik kerana akan menyebabkan pihak musuh tidak dapat mengendalikan semula operasi pengalian minyak dalam tempoh enam hingga setahun. 

Menurut Poynton cadangan daripada Golber hanya memberi impak jangka pendek yang akan melumpuhkan operasi pengeluaran minyak dalam tempoh tiga bulan. 

Arahan

Skim tentang penafian minyak ke atas Jepun ini telah disampaikan juga oleh Pejabat Perang kepada Panglima Tertinggi British di Asia Tenggara, Lord Louis Mountbatten. 

Arahan ini melibatkan beberapa perkara yang perlu dipatuhi.  Hal ini termasuklah arahan untuk tidak bertindak apabila telegram amaran dikeluarkan.

Apa yang perlu dilakukan oleh Panglima Tertinggi ini adalah satu arahan akan dikeluarkan oleh Setiausaha Koloni kepada Gabenor Negeri-negeri Selat yang memberi kuasa melaksanakan skim tersebut setelah menerima telegram amaran. 

Selepas itu tugas melaksanakan skim tersebut akan diberi kepada Panglima Tertinggi untuk menjalankannya.

Pada masa sama juga pihak British telah berjumpa dengan pihak Belanda (Hindia Timur Belanda) di Jakarta dan Bandung. Perjumpaan tersebut cuba menyelaraskan pelaksanaan untuk penafian bekalan minyak kepada tentera Jepun. 

Perbincangan antara mereka juga melibatkan tinjauan di kawasan pengeluaran minyak di Tarakan dan Balikpapan.

Perbezaan

Dalam perbincangan ini, pihak British mendapati bahawa skim yang dijalankan oleh pihak Belanda menjalankan operasi penafian di tanah jajahannya (Indonesia) berbeza dengan skim di Miri. 

Apa yang mereka lakukan adalah memusnahkan semua telaga pam dengan meletupkannya. Letupan ini akan menyebabkan paip selongsong rosak dan air dari paip itu akan membanjiri pasir tar (pasir minyak). 

Apa yang dilakukan oleh Belanda di Indonesia ialah pemusnahan menyeluruh terhadap telaga minyak. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan pihak British kerana skim penafian yang dilaksanakan oleh mereka lebih tertumpu kepada penyingkiran bahagian-bahagian penting mesin dan pam.

Tindakan ini bersifat sementara, memandangkan pemasangan semula boleh dilakukan sekiranya serangan tidak berlaku.

Pelan kecemasan British pula hanya melibatkan tindakan meletupkan saluran paip dasar laut. Skim penafian yang dilaksanakan oleh British ini berbeza dengan pendekatan Belanda kerana ia menghasilkan kesan yang berlainan, khususnya dari segi tahap kemusnahan infrastruktur dan kebolehan untuk memulihkan semula operasi pengeluaran minyak.

Ini kerana mesin dan pam di Miri nanti boleh digunakan oleh pihak musuh di Indonesia walaupun operasi pemusnahan dilakukan secara menyeluruh. Hal ini akan menjejaskan usaha menghalang kemaraan Jepun.

Operasi

Sementara itu di Sarawak usaha menjalankan penafian minyak ke atas Jepun diteruskan. Arahan telah dikeluarkan pada 10 Disember 1941 untuk memusnahkan lapangan minyak di Miri dan Seria. 

Walaupun operasi ini berjaya dilakukan tetapi pengunduran tentera British dari Miri telah diserang oleh tentera Jepun.

Secara kesimpulannya, jelas menunjukkan dasar British dalam menghadapi Jepun pada Perang Dunia Kedua lebih kepada usaha melambatkan pergerakan tentera musuh tersebut. 

Usaha ini berjaya dilakukan tetapi usaha melindungi penduduk tempatan nampaknya masih lagi tidak dapat dilakukan kerana Jepun akhirnya berjaya menawan Sarawak. 

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: AirBorneo: Cabaran imbangi harga tiket, tawaran perjalanan lebih menarik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.