
LAWAS: Pelan Pembangunan Lawas-Limbang akan meliputi kawasan di Utara Sarawak sehingga ke wilayah jiran di Kalimantan, Brunei, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelan itu merangkumi pembangunan menyeluruh melibatkan aspek jaringan jalan raya, telekomunikasi serta kemudahan lain yang dapat memperkukuh mobiliti dan perdagangan rentas sempadan di peringkat serantau.
“Kita akan melaksanakan Pelan Pembangunan Lawas-Limbang, bukan sahaja melibatkan kawasan itu, malah bagaimana kita dapat berkolaborasi dengan negara dan wilayah jiran seperti Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Kalimantan di Indonesia serta Brunei.

“Usaha ini memerlukan hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G), yang kemudiannya akan membuka ruang kepada hubungan perniagaan dengan perniagaan (B2B). Contohnya, perdagangan rentas sempadan mempunyai potensi yang besar untuk dimanfaatkan demi kepentingan semua.
“Kita juga boleh merancang pembangunan secara bersama bagi mewujudkan hab logistik, yang penting untuk dilaksanakan menerusi kerjasama dengan negara dan wilayah yang bersempadan dengan kita,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Irau Aco Lun Bawang Sarawak Kali Ke-39 di Taman Awam Lawas, hari ini.
Awang Tengah, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, usaha itu turut melibatkan kerjasama erat antara kerajaan sebelum diperkukuh menerusi hubungan perdagangan serantau.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan Pelan Pembangunan Lawas-Limbang memberi impak yang lebih meluas kepada pembangunan rantau Teluk Brunei yang meliputi Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
Beliau berkata, keutamaan pada peringkat awal adalah memastikan kemudahan asas seperti jaringan pengangkutan darat, udara dan laut, di samping infrastruktur digital, dipertingkatkan bagi memudahkan mobiliti rakyat serta aktiviti ekonomi.
Katanya, aspek tersebut amat penting dalam menarik pelaburan dan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab pelaburan serantau yang menghubungkan bahagian selatan hingga ke utara negeri ini.
Oleh Adeng Edrus